Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN milik siapa? Himpunan batal, mesyuarat tetap jalan - sumber Bersatu

Pergelutan dalaman Perikatan Nasional (PN) memasuki episod baru apabila poster janaan AI yang tular di media sosial mencadangkan Bersatu sedang bergerak untuk mencabar penguasaan PAS dalam gabungan pembangkang itu.

Poster yang memaparkan imej Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin itu mengajak penyokong berhimpun di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya malam ini bagi menyokong bekas perdana menteri itu, yang kononnya akan kembali sebagai pengerusi PN untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan tersebut.

Walaupun Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali kemudian menafikan rancangan itu, Malaysiakini memperoleh maklumat yang bercanggah daripada beberapa pegawai dan pemimpin parti.

“Saya sendiri tidak begitu pasti mengenai perinciannya. Ia mula tersebar pagi tadi, tetapi selepas itu saya dimaklumkan ia telah dibatalkan,” kata seorang anggota exco Pemuda Bersatu yang enggan dinamakan kepada Malaysiakini.

Seorang pegawai parti berkata dia “tidak pasti” kerana tiada mesyuarat sedemikian dalam jadual pejabatnya manakala seorang lagi pemimpin Pemuda Bersatu berkata mesyuarat itu tetap berlangsung tetapi bukan perhimpunan berkenaan.

“Saya tak pergi. Katanya perhimpunan itu sudah dibatalkan, tetapi mesyuarat masih diteruskan,” kata satu lagi sumber Bersatu.

Presiden Gerakan Dominic Lau turut mengesahkan kewujudan mesyuarat itu secara tidak langsung apabila dilaporkan Sin Chew Daily berkata ia dibatalkan kerana pasukan peguam Bersatu mahu menyelesaikan beberapa isu terlebih dahulu.

Selain mesyuarat yang kononnya dipengerusikan Muhyiddin itu, satu sumber yang boleh dipercayai daripada parti komponen PN lain mendakwa pasukan Muhyiddin telah menerima pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa dia masih diiktiraf sebagai pengerusi PN dan bukannya Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, PAS melalui Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung baru PN di bawah kepimpinan Samsuri, menolak dakwaan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, dia menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini yang mengesahkan keputusan Majlis Tertinggi PN untuk melantik Samsuri dan barisan baru anggota majlis berkenaan.

“Dengan ini ditegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti atau mesyuarat boleh diadakan atas nama PN tanpa kebenaran pengerusi PN,” katanya.

Walaupun peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN pada Januari lalu membuka laluan kepada Samsuri mengambil alih jawatan tersebut, seorang penganalisis mengesyaki seruan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi itu mungkin bertujuan mengubah semula keadaan tersebut.

“Nampaknya lebih kepada kalau PN panggil balik, Muhyiddin panggil balik, dia nak tengok kot siapa masih bersama dia. Kalau Gerakan, MIPP, sudahnya tinggal PAS satu sajalah. Wawasan belum diterima lagi.

“Jadi kalau ikut konsep coalition, ini mungkin orang legal tengok kot. Konsep coalition mesti lebih daripada satu parti. Tak boleh hanya libatkan satu parti sajalah,” kata Azizuddin Sani.

Menurut pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, gerakan terbaru ini mungkin berpunca daripada gabungan naluri kelangsungan politik dan keterikatan emosi Muhyiddin terhadap PN.

Ini susulan keputusan Samsuri menggugurkan penyokong setia Muhyiddin, Azmin Ali dan Radzi Jidin, daripada barisan kabinet bayangan baru PN, yang menurut Azizuddin mungkin hanya permulaan kepada usaha PAS untuk meminggirkan dan akhirnya menolak Bersatu keluar.

“Maksudnya, ada elemen faktor (tindakan) pengerusi itu. Ada juga faktor Muhyiddin, mungkin kerana dia yang bentuk PN. Tiba-tiba PAS senang-senang nak rampas, dia tidak selesa dengan keadaan itu berlaku.

“Jadi oleh kerana faktor ini, dia nak cabar dan dia akan pergi sampai... tengok respons PAS juga.”

Penasihat utama Pacific Research Center Malaysia Oh Ei Sun (gambar bawah) turut berpendapat tidak mustahil Muhyiddin cuba mengambil alih semula PN.

“Muhyiddin tidak banyak lagi yang boleh rugi, jadi mengapa tidak?” katanya.

Seorang lagi pemerhati politik berpandangan insiden terbaru ini mungkin mengganggu keseimbangan kuasa dalam PN, namun tidak banyak memberi manfaat kepada Bersatu.

Azmi Hassan (gambar bawah) berkata walaupun Muhyiddin berjaya melaksanakannya, penguasaan semula terhadap gabungan itu hanya akan menyebabkan PAS menjauhkan diri dan meninggalkan Bersatu bersama Gerakan serta MIPP.

Walaupun menjadi komponen PN, Gerakan dan MIPP tidak mempunyai sebarang kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan sering dilihat sebagai rakan kecil dalam gabungan tersebut.

“Jika Bersatu menerajui dan mengawal PN, tiada sebab untuk PAS kekal dalam PN.

“Jadi kalau PAS keluar, hanya tiga parti yang ada, jika MIPP dan Gerakan mahu kekal. Cuma manfaat kepada Bersatu ialah mereka boleh menggunakan logo PN.

“Tapi dengan tiga parti itu saja, maksimum yang ada dalam PN, ia tidak membawa apa-apa makna kepada Bersatu kerana kekuatan PN adalah PAS,” kata felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu.

Sementara itu, Oh berkata PAS masih mampu “berkembang dengan selesa” di luar gabungan tersebut kerana jenamanya yang kukuh.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS