Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad keluar Umno, dakwa parti itu 'dikawal' istana
Diterbitkan:  Jun 25, 2026 9:21 AM
Dikemaskini: 3:36 AM
1

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta merta, dengan mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan kerana ‘dikawal’ istana.

Kata Puad, Umno kini tidak perlu bersusah payah memecatnya dan hal itu memudahkannya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti itu dari belakang.

“Kini saya bebas mengkritik Umno, satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Alasan utama saya keluar Umno ialah, Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. Umno Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kata Puad, satu bukti yang jelas Umno dikawal Istana ialah Menteri Besar Johor, Onn Hafiz sendiri membuat pengakuan kepadanya semasa pertemuan pada 21 Jun lalu bahawa pihak istana menitahkan agar DUN Johor dibubarkan .

"Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026.

"Banyak lagi contoh-contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan Umno Johor boneka yang terikat," jelasnya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Onn berhubung dakwaan Puad.

Sedia bertempur lawan 'pengecut politik'

Sementara itu Puad turut menafikan dia membuat keputusan itu kerana kepentingan diri.

"Ada yang akan menuduh saya keluar Umno kerana kepentingan diri. Buat apa saya keluar ketika Umno dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi.

“Saya tinggalkan Umno di saat KJ (Khairy Jamaluddin), Hishamuddin (Hussein), Noh Omar kembali masuk Umno bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?.

Puad berkata dia perlu melakukan “keberanian politik” untuk mendedahkan "kemungkaran" tersebut sebelum menjadi parah.

"Saya sedar saya akan dikecam dan dihina. Mungkin juga keselamatan saya terancam. Tetapi berbekalkan “keberanian politik”, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan.

"Saya tidak mahu Umno dipimpin oleh “Pengecut Politik” sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan “mediocre”.

"Saya bertawakal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya," katanya.

Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata dia akan membuat satu pengumuman penting pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Johor, Sabtu ini.

Katanya, ia susulan perkembangan terkini dalam Umno Johor yang disifatkannya membimbangkan.

Menurut Puad, terdapat perkara yang `tidak kena' kepada Umno Johor selepas dia melihat senarai calon Barisan Nasional (BN).

Sebelum itu, Puad menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit yang disandangnya pada pilihan raya kali ini.

Menurutnya keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berpendidikan.

Bagaimanapun, Puad mendakwa saranan itu tidak diendahkan oleh kepimpinan parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS