Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, membidas tindakan Bersatu yang membawa perkara dalaman gabungan itu ke ruang awam.
Merujuk kenyataan media pemimpin Bersatu pada 23 Jun lalu berhubung perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, Ahmad Samsuri menuntut agar semua parti komponen menghormati disiplin organisasi dan keputusan bersama yang telah dicapai.

“Saya ingin menegaskan bahawa PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.
“Setiap parti anggota, termasuk Bersatu, mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat.
“Namun, apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya. PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dikongsi di media sosial.
Persoal keanggotaan parti Hamzah
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu melalui kenyataan Selasa lalu mempersoal tindakan PN menerima keanggotaan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota gabungan itu, dengan dakwaan langkah berkenaan hanya akan menambah masalah dalaman sedia ada.
Dia berkata bantahan itu dibuat atas dasar PN ketika ini masih berdepan isu antara parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Pada masa sama, Ahmad Faizal mendakwa permohonan PCM yang diambil alih oleh kem seteru Bersatu daripada kumpulan Hamzah Zainudin untuk menyertai PN tidak teratur selepas semakan mendapati terdapat isu berkaitan jawatan kepimpinan dan penggunaan nama parti.
Dakwanya permohonan itu dibuat Saifuddin Abdullah selaku setiausaha agung PCM, namun rekod rasmi menunjukkan setiausaha agung PCM bagi tempoh 2026 hingga 2027 ialah Yeo Kwee Kwang.
Dakwanya lagi maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula menggunakan nama Parti Wawasan Negara (Wawasan) sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.
Perlu ditangguhkan
Tambahnya, wakil Bersatu turut membangkitkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN tadi dan berpandangan mesyuarat berkenaan perlu ditangguhkan susulan maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Katanya JPPM sebelum itu memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan kepada jabatan berkenaan tidak lengkap dan tiada tandatangan.
PRN Johor
Mengulas mengenai persiapan PRN Johor, Ahmad Samsuri mengesahkan bahawa proses rundingan kerusi telah pun diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi PN.
Katanya, dia juga telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN yang bakal bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Justeru, menteri besar Terengganu itu menggesa seluruh parti komponen, kepimpinan, dan jentera pilihan raya untuk menghentikan pertikaian dan memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja di lapangan.
Menyentuh isu penggunaan simbol gabungan, Ahmad Samsuri mengingatkan bahawa penggunaan simbol PN hadir bersama tanggungjawab politik yang besar.

“Mana-mana parti yang diberikan amanah untuk bertanding menggunakan simbol tersebut wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen, serta prestasi kerusi yang ditandingi.
“Langkah tegas ini membuktikan komitmen kepimpinan tertinggi PN dalam memastikan keutamaan gabungan kekal terarah kepada menawarkan kepimpinan yang berintegriti serta dasar yang membela rakyat.
“Impak disiplin dalaman yang rapuh dikhuatiri boleh menjejaskan fokus jentera, sedangkan fokus utama PN ketika ini adalah untuk membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya lagi.
