mk-logo
Berita
PRN Johor: Rafizi akui sukar ramal sokongan pengundi Cina

PRN JOHOR | Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa separuh masa kedua, namun persoalan ke mana arah sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, terus menjadi teka-teki bagi parti-parti yang bertanding.

Bagi Rafizi Ramli, berdasarkan maklum balas di lapangan setakat hari ketujuh kempen, pengundi Cina didapati masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Sepanjang tahun-tahun saya mengendalikan pilihan raya, ini adalah antara pilihan raya yang paling sukar untuk diramal, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina.

"Malam ini pun jika anda lihat, tidak ramai orang Cina yang hadir. Majoriti yang hadir kebanyakannya adalah orang Melayu dan India.

"Kecuali sebilangan kecil penyokong tegar, tetapi pengundi Cina secara amnya masih merahsiakan pilihan mereka.

"Jadi agak sukar untuk membaca ke mana arah undi Cina akan pergi," katanya kepada Malaysiakini selepas ceramah Jelajah Kancil di DUN Mahkota, di Kluang semalam.

DUN Mahkota menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon PH, Dr Ahmad Zuhan Md Zain serta calon parti Bersama, Abd Hamid Ali.

Mengulas lanjut mengenai sikap berdiam diri pengundi Cina, Rafizi tidak menolak kemungkinan mereka sedang berdepan dilema besar selepas sekian lama memberikan sokongan padu kepada satu blok politik sahaja.

"Sama ada mereka masih berbelah bahagi, atau mereka sebenarnya sudah membuat keputusan secara diam-diam untuk memilih mana-mana pihak, tetapi memilih untuk tidak menunjukkannya.

“Namun dari segi logik, kita boleh katakan undi Cina masih dalam dilema dan mereka masih menilai.

"Dalam kes pengundi Cina, mereka telah mengundi DAP secara dominan, dan secara tidak langsung PH untuk 20 tahun yang lalu. Jadi ini adalah kali pertama mereka dibentangkan dengan alternatif lain.

"Jadi saya tidak mengecilkan dilema yang terpaksa dilalui oleh pengundi Cina," tambahnya.

Lebih 200 orang menghadiri ceramah tersebut yang kebanyakannya adalah orang awam.

Sasar 15 peratus, mahu pintas PAS

Ketika ditanya peluang Bersama dalam PRN Johor, Rafizi berkata objektif utama parti itu bukan untuk membentuk kerajaan, sebaliknya bagi memastikan kesemua 15 calon mereka mampu mengekalkan deposit dan memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi popular.

Dia membuat perbandingan parti dengan PAS yang hanya memperolehi undi sekitar 10 hingga 12 peratus meskipun telah lebih 60 tahun bertapak di Johor.

"Apa-apa sahaja yang melebihi sasaran itu adalah satu bonus," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Bersama mempertaruhkan calon di 15 kerusi DUN berbanding PAS yang hanya meletakkan 11 calon.

Pada PRN 2022, PAS hanya memenangi satu kerusi DUN Maharani dengan majoriti 1,037 undi dalam persaingan enam penjuru.

Kempen Umno bebaskan Najib beri kelebihan pada lawan

Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata kempen beberapa pemimpin Umno untuk mengaitkan kemenangan BN di Johor dengan usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Najib Razak hanya akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Dia mengulas kenyataan anak Najib, Nazifuddin yang mengatakan kemenangan besar BN akan memberi isyarat bahawa rakyat menyokong pembebasan bapanya.

Bagaimanapun Rafizi berkata sebahagian besar pengundi Melayu masih belum melupakan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib.

"Saya tidak rasa sebahagian besar orang Melayu dan jumlahnya agak signifikan sudah melupakan tentang 1MDB, rasuah dan sebab mengapa Umno ditolak dua kali pada 2018 dan 2022.

“Malah 2022 adalah keputusan terburuk untuk Umno, dan kedua-duanya dikaitkan dengan Najib.

"Saya harap mereka (Umno) terus berkata sedemikian, kerana itu membantu mengalihkan undi orang Melayu atas pagar yang telah menolak Umno sebelum ini," katanya.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini dengan 2,727,926 pengundi berdaftar.

Daripada jumlah itu, 2,703,175 adalah pengundi biasa manakala 24,751 terdiri daripada anggota polis, tentera serta pasangan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS