Bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Tengku Zafrul, 53, yang merupakan saksi pendakwaan ke-11 tiba di kompleks mahkamah pada 8.30 pagi.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu memberi keterangan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti Bersatu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tiada kuasa lantik terus
Anggota parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Tengku Zafrul berkata surat bertarikh 13 Nov itu adalah surat cadangan dikeluarkan Muhyiddin kepada beliau untuk melantik 54 syarikat secara rundingan terus bagi melaksanakan projek-projek yang telah ditentukan.
Beliau berkata pelantikan secara rundingan terus bermaksud projek dianugerahkan terus kepada syarikat yang disenaraikan tanpa melalui proses tender dan persaingan tawaran harga dalam kalangan kontraktor lain.
"Berkenaan senarai 54 syarikat berserta agihan projek dalam surat ini, saya tidak tahu bagaimana Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek untuk setiap syarikat.
“Saya juga sahkan syarikat-syarikat dalam dokumen ini disenaraikan oleh PMO dan bukannya daripada saya dan juga Kementerian Kewangan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata beliau juga tidak mengetahui sama ada syarikat yang disenaraikan itu mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dengan Muhyiddin kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepadanya.
Keuntungan peribadi
Tengku Zafrul juga berkata Muhyiddin tidak pernah memaklumkan bahawa beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan itu.
“Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada 54 syarikat yang disenaraikan dalam surat ini. Saya juga tidak mempunyai pengetahuan sama ada syarikat-syarikat tersebut pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik," katanya.
Tengku Zafrul berkata beliau juga tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Jana Wibawa sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada Perdana Menteri mempunyai kuasa melantik mana-mana syarikat bagi menjalankan projek kerajaan, Tengku Zafrul menjawab : "Tidak ada."
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes itu berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
- Bernama
