PRN JOHOR | BN dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri manakala DAP berpotensi menjadi parti terbesar dalam blok pembangkang selepas 11 Julai ini, menurut Merdeka Center.

Pengarah programnya, Ibrahim Suffian, itu berkata berdasarkan pemerhatian setakat ini BN boleh mengekalkan antara 40 hingga 42 kerusi, manakala Amanah dan PKR - yang menjadi parti komponen PH - mungkin sekadar meraih satu dan dua kerusi.

“Menurut beberapa perkiraan, kami berpendapat kedudukan Umno di Johor bertambah baik berbanding PRU ke-15 apabila kami menganggarkan mereka memperoleh sekitar 45 peratus undi Melayu ketika itu.

“Di peringkat negeri, saya fikir angka itu kini meningkat kepada sekitar 55 hingga 60 peratus.

“Kami menjangkakan BN akan menang, (tetapi) persoalan besar ialah pada margin - adakah mereka akan mendapat kurang daripada 40 kerusi atau lebih daripada 40 kerusi?” katanya dalam satu webinar anjuran S Rajaratnam School of International Studies hari ini.

Ibrahim bagaimanapun menyatakan sokongan tersebut “tidak diagihkan secara sekata” kerana, walaupun tonggak BN lebih kukuh di kawasan luar bandar dan timur, PH dan Bersatu lebih “kuat” di kawasan barat negeri itu.

Dalam PRN 2022 lalu, BN memperoleh 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan Umno memegang bahagian terbesar iaitu 33 kerusi, diikuti MCA (empat kerusi) dan MIC (tiga kerusi).

DAP pula memenangi 10 kerusi berbanding Bersatu dua kerusi, manakala PKR, Amanah, PAS dan Muda masing-masing memegang satu kerusi.

Belum tentu diterjemah kepada undi

Pengasas bersama Merdeka Center itu menegaskan, kedudukan BN sebagai penyandang kerajaan negeri memberi kelebihan kepada gabungan itu dalam mendepani PRN.

Merujuk kepada tinjauan yang dijalankan pada Mei lalu, Ibrahim berkata, menteri besar sementara Onn Hafiz Ghazi memperoleh penilaian positif secara keseluruhan daripada rakyat Johor merentasi semua kumpulan kaum utama dan peringkat umur.

Sokongan yang sama, katanya, turut dilihat dalam penilaian perbandingan kerajaan negeri dan persekutuan, dengan tinjauan mendapati hampir dua per tiga rakyat Johor berpuas hati dengan pengurusan ekonomi kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri menerima kadar kelulusan 79 peratus, namun di peringkat persekutuan hanya 44 peratus yang berpuas hati.

"Saya katakan ini sebahagian besarnya disebabkan faktor kepartian kerana hanya kira-kira satu per tiga pengundi BN akan memberikan penilaian positif kepada kerajaan persekutuan.

“Ini juga menunjukkan kurangnya kebolehpindahan sokongan pengundi antara kedua-dua pihak (kerana) terdapat keadaan penyokong BN melihat kerajaan (persekutuan) semasa sebagai kerajaan PH kerana ia dipimpin oleh perdana menteri dari PH,” kata Ibrahim.

Ibrahim Suffian

Namun dia menegaskan “penilaian” tidak semestinya diterjemahkan kepada undi, sambil merujuk kepada tinjauan Merdeka Center sebelum ini yang meletakkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendahului dari segi sokongan dalam kalangan bukan Melayu dan keseluruhan responden.

“Jika orang mengatakan beliau (Onn Hafiz) mendapat penilaian yang tinggi, jadi beliau pasti menang pilihan raya, tidak - itu hanya bermaksud orang menghargai apa yang cuba dilakukannya.

“Mereka memberikan markah yang baik, tetapi apabila tiba masa mengundi, terdapat banyak pertimbangan lain yang memainkan peranan,” katanya.

Selain “sokongan kukuh” dari Istana Johor kepada BN serta peluang Umno - yang diasaskan di Johor - untuk memanfaatkan perpecahan dalam kalangan lawan mereka, Ibrahim berkata keputusan PAS menyokong BN turut memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan.

Suasana semasa ‘gelombang hijau’

Namun, dia mengingatkan bahawa kerjasama PAS dan BN itu juga kelihatan boleh membawa kesan yang tidak diingini, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

“Walaupun sesetengah pengundi bukan Melayu menyatakan ketidakpuasan hati terhadap gabungan pemerintah (BN) dan PH, dengan menyebut beberapa perkaraa yang tidak dipenuhi serta kekecewaan terhadap janji reformasi, mungkin berlaku kesan sebaliknya (akibat penglibatan PAS).

“Dengan PAS dan Umno bekerjasama, ia menyukarkan (bukan Melayu) untuk mengundi calon MCA, sebahagiannya kerana ramai pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, masih tidak mahu mendekati PAS walaupun sedikit,” katanya.

Tambah Ibrahim dengan pengundian awal dijadualkan berlangsung esok, turut dilihat sebagai petunjuk awal yang boleh memberi gambaran penting tentang perkembangan politik di peringkat nasional.

“Jika kita gabungkan dengan PRN Negeri Sembilan yang akan datang, kita akan melihat sama ada Umno benar-benar sudah mengukuhkan (dan) menghidupkan semula dirinya, serta sama ada ‘gelombang hijau’ yang dipimpin PAS melalui PN mencapai kemuncaknya dan mula mereda, atau sebaliknya.

“(Kemenangan BN di Johor) juga boleh memberi petunjuk tentang keberkesanan strategi Umno bergerak secara bersendirian - adakah ia sesuatu yang boleh memberi pulangan pada pilihan raya umum akan datang?” jelas Ibrahim.

Pengundi Negeri Sembilan akan membuang undi pada 1 Ogos, kira-kira tiga minggu selepas pengundi Johor.

Dia turut meramalkan kadar keluar mengundi bagi pilihan raya Sabtu ini mungkin “lebih rendah daripada PRU”, dengan anggaran keseluruhan sekitar 60 hingga 65 peratus, termasuk 70 hingga 75 peratus pengundi Melayu dan 55 hingga 60 peratus pengundi Cina.

“Pengundi Cina, yang merupakan pengundi penting dalam pilihan raya ini, secara umumnya berpuas hati dengan pentadbiran negeri, tetapi terdapat tahap minat politik yang rendah, dan ini berisiko menyebabkan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, yang akan menjejaskan PH,” katanya.

Merujuk kepada dapatan tinjauan Merdeka Center, Ibrahim berkata kumpulan pengundi muda yang membentuk kira-kira 40 peratus daripada pengundi Johor “tidak begitu tertarik” dengan politik identiti atau kesetiaan kuat terhadap jenama parti yang berteraskan politik perkauman.

Sebaliknya jelas Ibrahim lagi, kebimbangan kumpulan terbabit lebih tertumpu kepada isu kos sara hidup, ekonomi dan perumahan, dengan tekanan tersebut berpotensi menyebabkan mereka melepaskan kemarahan terhadap pihak yang dikaitkan dengan masalah mereka.

Menjawab soalan mengenai pandangannya terhadap dakwaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi bahawa Umno “dikawal oleh” Istana Johor, Ibrahim berkata perkara itu boleh menyebabkan PAS atau Bersatu memperoleh sebahagian undi golongan muda.

“Berhubung pendedahan Puad dan peletakan jawatannya selepas itu, saya fikir ia juga memberi kesan kepada generasi muda Melayu,” katanya.

“Jika kita lihat di media sosial, komen daripada orang Melayu muda kurang menunjukkan rasa hormat apabila institusi diraja menyentuh isu politik atau perkara yang dilihat di luar ruang mereka.

“Pengundi muda sekitar usia 20-an mempunyai rasa ketidakadilan terhadap sistem, dan mereka cenderung melepaskannya kepada mana-mana pihak yang berkuasa, sebahagiannya kerana segmen pengundi ini berdepan tekanan kewangan yang tinggi,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, dia berkata tinjauan mendapati pengundi Melayu muda lebih cenderung untuk mengundi secara protes yang berpotensi memberi kelebihan kepada Bersatu atau PAS, yang dianggap “lebih dikenali” berbanding PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS