Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Endau: Kak Awi kembali galas tiket BN, nafi Umno Mersing boikot 

PRN JOHOR | Pengumuman BN untuk meletakkan semula penyandang kerusi DUN Endau, Alwiyah Talib, sebagai calon dalam PRN kali ini mencetuskan kejutan besar.

Namun, ia segera dibayangi dengan pelbagai spekulasi termasuk calon 'pilihan' dan dakwaan keretakan dalaman jentera parti.

Keputusan BN memilih Alwiyah yang baru saja kembali ke pangkuan Umno pada Jun lalu setelah empat tahun bersama Bersatu dilihat sebagai langkah berisiko tinggi. 

Walaupun merupakan otai di Endau, kemunculan semula Alwiyah - yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Awi - di bawah bendera BN mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi yang masih terluka dengan tindakan dia melompat parti sebelum ini.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar DUN Endau beberapa hari lalu mendapati suasana kempen BN tidak semeriah kerusi-kerusi lain yang berhampiran. 

Gerak kerja jentera Umno bersama Alwiyah dilihat sangat terhad dan hanya melibatkan kelompok kecil penyokong setianya.

Malah, Malaysiakini juga mendapati hampir tiada wakil Umno dalam satu program BN di Kampung Orang Asli Labong.

Nafi kena abai parti sendiri

Sumber dalaman Umno memberitahu Malaysiakini situasi itu berpunca daripada kedudukan kerusi DUN Tenggaroh yang ditandingi Ketua Umno Mersing, Mohd Youzaimi Yusof.

"Youzaimi bertanding di DUN Tenggaroh. Sepatutnya dia yang bertanding di Endau, tapi ditukarkan pada saat-saat akhir.

“Maka, keseluruhan jentera Umno Mersing kini lebih fokus kepada DUN Tenggaroh,” katanya.

Satu lagi faktor, kata sumber itu, Umno bertanding di DUN Tenggaroh buat kali pertama dalam sejarah selepas selama 40 tahun kerusi itu ditandingi MIC - dan mereka tidak pernah kalah.

Jika, Umno gagal di Tenggaroh kali ini, tambahnya, kemungkinan kerusi itu akan dikembalikan kepada MIC.

“Sebab itu Umno Mersing bekerja bermati-matian di Tenggaroh berbanding Endau," kata sumber dari Umno Mersing itu.

Malaysiakini telah menghubungi Youzaime untuk mendapatkan komennya.

Kali ini Alwiyah yang bertanding dengan slogan "Endau Kesayanganku" pantas menepis dakwaan bahawa dia diabaikan oleh jentera Umno.

Katanya dakwaan Umno Mersing tidak membantu kempen calon untuk DUN Endau adalah tidak tepat. 

"Tempoh kempen yang telah berlangsung selama seminggu menunjukkan sokongan yang sangat positif termasuk persiapan jitu dalam kalangan jentera parti," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Alwiyah, gerak kerja jentera BN bagi DUN Endau dan Tenggaroh sebenarnya berjalan seiring dan konklusif.

DUN Endau merupakan kawasan luar bandar yang secara tradisinya adalah kubu kuat BN sebelum 2018, dengan majoriti pengundi terdiri daripada komuniti nelayan dan peneroka. 

Dengan jumlah lebih 28,000 pemilih, pertembungan kali ini menyaksikan persaingan sengit empat penjuru.

Alwiyah bakal berdepan cabaran daripada Hasnul Hakimi Hussien (PN-PAS), Saiful Nizam Samat (PH), dan Jati Awang (Parti Asli).

Sejarah politik Alwiyah, 64, sememangnya berwarna-warni.

Anggap isu sudah basi

Dia memenangi kerusi Endau atas tiket BN pada 2018 (PRU ke-14), namun bertindak keluar Umno pada 12 Mei 2018 hanya beberapa hari selepas BN tumbang sama ada di Johor atau Putrajaya.

Dia memilih Bersatu sebagai wadah barunya dalam politik.

Pada PRN Johor 2022, dia mempertahankan Endau, namun berbeza dari sebelumnya, kali ini dia menang atas tiket PN. 

Namun, pada Jun lalu dia membuat keputusan untuk beralih arah sekali lagi. Alwiyah meninggalkan Bersatu untuk kembali ke pangkuan Umno.

Menyentuh mengenai sejarah dia bertukar-tukar parti yang kini menjadi peluru pihak lawan, Alwiyah menyifatkan perkara itu sebagai polemik yang sudah luput tarikh.

"Saya merasakan perkara ini (lompat parti) tidak perlu diperbahaskan lagi. 

"Saya menganggap ia sudah menjadi ‘basi’ yang hanya ingin dijaja sebagai sentimen politik yang berpanjangan. 

"Saya percaya rakyat akan menilai berdasarkan rekod perkhidmatan saya," katanya.

Namun, keputusan Alwiyah untuk kembali ke Umno pada Jun lalu menyebabkan pimpinan PN berang dan memutuskan segala kerjasama.

"Kami sudah tidak boleh percaya kepada pemimpin yang prinsipnya berubah mengikut arah angin," kata satu sumber pimpinan PN tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS