Dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa partinya sedang berbincang dengan BN, khususnya Umno untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjelang hari berkempen yang bermula Sabtu ini, hanya bersifat persefahaman yang belum dimuktamadkan.
Malah, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi , hasrat PAS itu tidak perlu dipandang serius kerana ia boleh berubah mengikut kesesuaian politik semasa.

“Tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat. Kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS.
“Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar understanding atau persefahaman dan kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat bersama kontinjen TVET@KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) ke Worldskills Shanghai 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN berkata, senario yang berlaku sebelum hari penamaan calon PRN Johor membuktikan bahawa kenyataan PAS sering berbeza apabila tiba hari pengundian.
“Jadi, jangan positif sangatlah dengan mereka ini. Kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif.
“Mereka boleh tukar goal post (tiang gol) bila-bila masa. Saya anggap itu sebagai kenyataan politik oleh mereka,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS berhasrat memberi laluan kepada Umno di 14 kerusi yang dipegangnya pada PRN 2023, dengan perbincangan tertumpu pada pembahagian 17 kerusi yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH).
PAS pada dasarnya bersetuju parti itu kekal bertanding di tiga kerusi disandangnya iaitu Bagan Pinang, Serting dan Paroi.
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata bahawa dua kerusi yang dipegang oleh Bersatu juga mungkin akan dibincangkan.
"(Matlamatnya) adalah untuk orang Melayu-Islam memerintah Negeri Sembilan," katanya, sambil menambah bahawa PAS tidak mempunyai masalah jika Umno memegang jawatan menteri besar.
DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 dan Perikatan Nasional (PN) lima.

Daripada 17 kerusi PH, DAP memenangi 11, PKR lima dan Amanah satu. Tiga daripada lima kerusi PN pula dimenangi PAS, manakala dua lagi oleh Bersatu.
Mengulas mengenai persediaan PRN Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, perbezaan demografi dan corak pengundian di Negeri Sembilan menjadi antara faktor yang akan menentukan strategi politik serta formula pemilihan calon BN.
“Senarai penuh calon-calon yang bakal bertanding akan diumumkan secara rasmi pada minggu ini,” katanya.
Dia yang juga Pengerusi BN berkata memandangkan terdapat perbezaan dari segi jumlah kerusi dan komposisi penduduk di negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain, BN akan mengambil pendekatan berlainan.

"Situasi di Negeri Sembilan tentunya berbeza kerana jumlah kerusi, demografi penduduk dan corak pengundian juga berbeza.
“Formulanya perlu disesuaikan dengan situasi politik di Negeri Sembilan. Kita akan umumkan calon-calon pada minggu ini," katanya yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.
