mk-logo
Berita
'Hadiah PAS untuk BN' - kerusi Loke, DUN N Sembilan

ANALISIS | Rancangan PAS untuk menyokong BN dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan atas nama penyatuan Melayu-Islam boleh menamatkan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Namun, itu bukan satu-satunya kesan yang mungkin berlaku sekiranya PAS berjaya memastikan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional tidak bertanding di beberapa medan pertempuran utama.

Analisis keputusan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan bahawa dalam pertembungan satu lawan satu, BN malah berpotensi menewaskan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di kerusi Chennah.

Loke menyandang kerusi Chennah sejak 2013, ketika PAS dan DAP masih menjadi sekutu, dengan memenangi 56 peratus undi pada penampilan pertamanya.

Bagaimanapun, perkongsian undinya semakin merosot selepas PAS berpisah dengan DAP manakala peratusan pengundi Melayu di Chennah meningkat secara beransur-ansur daripada 44 peratus pada 2018 kepada 46 peratus pada 2022.

Menjelang PRU pada November 2022, sokongan terhadap PH di Chennah merosot kepada 44 peratus berdasarkan analisis undi yang dibuang di kerusi DUN itu pada peringkat Parlimen.

Sementara itu, BN dan PN mencatatkan perkongsian undi gabungan sebanyak 56 peratus.

Selain perpecahan antara PAS dan DAP, satu lagi faktor yang menyumbang kepada kemerosotan sokongan terhadap DAP di Chennah ialah pertambahan pengundi Melayu di kerusi berkenaan.

Sekiranya corak pengundian mereka ini berterusan, atau peratusan keluar mengundi penyokong PH lebih rendah seperti yang berlaku dalam PRN Johor baru-baru ini, pertembungan satu lawan satu antara MCA dan DAP boleh membawa kekalahan memalukan kepada parti gabungan PH itu.

Pada PRN 2023, BN tidak bertembung dengan Harapan di Chennah dan kerusi lain kerana kedua-duanya bertanding sebagai satu pasukan.

Bagaimanapun, PRN itu menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PN di Negeri Sembilan berbanding PRU15, sekali gus memberi gambaran berlakunya peralihan undi daripada penyokong BN yang belum bersedia mengundi Harapan dan DAP.

Penyatuan undi Melayu di belakang BN pada PRN Johor, yang membolehkannya memenangi 48 daripada 56 kerusi, berkemungkinan menjadi petunjuk bahawa pemindahan undi daripada PN kepada BN juga boleh berlaku di Negeri Sembilan.

Selain Loke, seorang lagi tokoh berprofil tinggi yang berpotensi menjadi korban kerjasama BN-PAS ialah menteri besar sementara Aminuddin Harun.

Dalam PRU15, hanya 41 peratus pengundi di kerusi DUN Sikamat yang disandang Aminuddin mengundi Harapan pada peringkat parlimen manakala 58 peratus memilih sama ada BN atau PN.

Selain itu, Aminuddin yang berketurunan Jawa juga berdepan risiko undi protes daripada pengundi Minangkabau susulan persepsi bahawa dia gagal mengendalikan undang-undang adat Perpatih sehingga membawa kepada krisis institusi beraja di Negeri Sembilan, dengan dua pihak menuntut takhta.

Kerusi lain yang berisiko dalam pertembungan satu lawan satu antara Harapan dan BN ialah Klawang, Ampangan dan Pilah.

Secara keseluruhan, lima kawasan itu boleh memberikan BN 19 kerusi di Negeri Sembilan, mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Walaupun Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menolak kerjasama dengan PAS di Negeri Sembilan, parti Islam itu dijangka meneruskan pendekatan sama seperti tindakannya di Johor, dengan mengarahkan penyokongnya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.

Sekiranya PAS dan PN hanya memberi laluan kepada BN di kerusi berkenaan tetapi bertembung dengannya di kawasan lain, BN masih boleh muncul sebagai pemenang.

Seperti yang dilihat di Johor, perbalahan dalaman PN turut diterjemahkan di peti undi apabila penyokong PAS dan Bersatu dilihat tidak mengundi calon daripada parti antara satu sama lain.

Tempoh yang ada terlalu singkat dan PN berkemungkinan tidak sempat memperbaiki hubungan serta menyatukan sokongan dengan segera.

Hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan akan berlangsung Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS