Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bicara kes Muhyiddin: Syarikat abang saksi beri wang kepada Bersatu

Pengarah syarikat Sutracom Sdn Bhd (Sutracom) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sebahagian wang yang dipindahkan ke syarikat Mamfor Sdn Bhd telah disumbangkan kepada Bersatu.

Shahrin Shamsuddin, 41, bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui berapa jumlah wang disumbangkan oleh syarikat Mamfor yang dimiliki abangnya, Shahradzi kepada Bersatu malah perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada beliau.

"Saya sahkan Sutracom ada memindahkan wang daripada akaun Bank Muamalat milik syarikat Sutracom ke akaun Bank Muamalat milik syarikat Mamfor sebanyak RM13,772,000 melalui sembilan transaksi.

"Saya tidak pasti berapa pecahan jumlah wang yang Shahradzi guna untuk membayar hutang lapuk syarikat keluarga serta perbelanjaan operasi dan memberi sumbangan kepada Bersatu. Saya telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk menguruskan penyelesaian hutang-hutang lapuk syarikat dan perbelanjaan operasi syarikat-syarikat milik keluarga," katanya.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Shahrin berkata tujuan beliau memindahkan wang berkenaan ke akaun bank syarikat Mamfor adalah untuk digunakan bagi membayar perbelanjaan operasi serta hutang-hutang lapuk milik Mamfor, Sutracom, Syarikat Majulia Sdn dan lain-lain syarikat milik keluarga.

Beliau berkata Syarikat Majulia merupakan syarikat yang dimiliki ibunya serta adik lelakinya.

Saksi itu berkata beliau hanya mengetahui perkara tersebut semasa perbincangan keluarga diadakan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat sama ada saksi itu ada memberi kebenaran untuk Shahradzi memindahkan wang itu kepada Bersatu, Shahrin menjawab tiada.

Mahadi: Pada bila-bila masa adakah anda pernah bersetuju untuk serahkan wang itu kepada Bersatu sebagai sumbangan?

Shahrin: Tidak pernah.

Menurut Shahrin, beliau yang menguruskan pemindahan wang secara dalam talian dan merekodkan sembilan transaksi pemindahan wang tersebut daripada Sutracom ke syarikat Mamfor.

Shahrin berkata syarikatnya telah menerima e-mel pada 26 Mac 2021 daripada Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berkenaan Penilaian Pra-Kelayakan di bawah program Jana Wibawa.

"Saya sahkan ini adalah Surat Setuju Terima tawaran penerimaan kerja Membina Dan Menaik Taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor dengan harga sebanyak RM605,217,790 dengan tempoh kontrak selama 36 bulan. Saya sahkan bahawa saya telah menerima surat ini daripada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) di pejabat JKR," katanya.

Beliau berkata satu lagi syarikat milik keluarga iaitu Majulia turut mengemukakan permohonan kepada Muhyiddin untuk mendapat kelulusan menyertai projek yang sama.

"Saya juga ingin sahkan bahawa tandatangan tersebut bukan tandatangan saya namun saya tahu berkenaan surat ini kerana Shahradzi ada memaklumkan perkara ini kepada saya dan telah menjadi amalan kebiasaan syarikat-syarikat kami sekeluarga untuk mengeluarkan surat permohonan projek kepada pihak kerajaan," katanya.

Semasa disoal balas peguam Datuk Seri K. Kumaraendran, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Muhyiddin tidak mempunyai kaitan dengan syarikat Mamfor dan Sutracom serta tiada kepentingan kewangan dalam syarikat-syarikat tersebut.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS