story images
story images
mk-logo
Berita
Yeoh: Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam
Diterbitkan:  Jul 24, 2026 1:50 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh mengingatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bimbang dengan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Yeoh yang juga menteri Wilayah Persekutuan menyifatkan kerjasama kedua-dua gabungan itu seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam.

“Kerjasama itu tidak akan kekal lama kerana ianya dibayangi dengan pengkhianatan dan mereka yang tidak setia kepada sebuah politik persahabatan.

“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja. Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” katanya melalui catatan di Facebook hari ini.

Hannah membuat kenyataan itu selepas berkempen di Kuala Klawang, Jelebu, bagi membantu calon PH Bakri Sawir mempertahankan DUN Klawang yang dimenanginya pada 2018 dan 2023.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Segambut itu mendakwa BN dan PN akan saling memijak untuk naik kerana masing-masing mempunyai cita-cita politik sendiri, termasuk mahu menguasai kerajaan dan menentukan calon perdana menteri.

Menurut Yeoh, kedua-dua gabungan itu juga tidak mahu rakan kerjasama mereka lebih berjaya kerana masing-masing hanya mahu mengangkat kepimpinan parti sendiri.

“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya lagi.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan PH bertarung di kesemua 36 kerusi dan digempur calon BN dan PN yang mengelakkan pertindihan sesama mereka, selain cabaran Bersatu serta beberapa parti kecil dan calon Bebas.

Daripada keseluruhan 36 kerusi, BN bertanding di 25 DUN manakala PN mempertaruhkan calon di 11 DUN.

Kerjasama pilihan raya BN-PN itu tidak melibatkan Bersatu, yang mendakwa diketepikan daripada rundingan pembahagian kerusi sebelum memutuskan bertanding secara berasingan menggunakan lambangnya sendiri di 24 DUN.

Sementara itu, Yeoh berkata kesetiaan parti-parti dalam PH telah terbukti menerusi perjuangan mereka mempertahankan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sehingga dia dilantik sebagai perdana menteri ke-10.

“Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda.

“Memenangkan calon-calon Pakatan Harapan adalah simbol kita mempertahankan nilai sebuah politik persahabatan.

“Ia tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain PH. Kekal PH, akan kekallah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” katanya.

Hubungan tegang antara pemimpin PH dan BN semakin ketara susulan kerjasama gabungan itu dengan PN pada PRN Negeri Sembilan.

Pada 19 Julai lalu, Pemuda PH mendesak menteri BN meletakkan jawatan susulan kerjasama gabungan itu dengan PN.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri dan beberapa pemimpin BN pula menyerahkan kepada Anwar untuk memecat atau mengarahkan mereka meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mahu mereka berada dalam kabinet.

Anwar sebelum ini memberi amaran umum kepada semua menteri supaya berundur sekiranya mahu menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini berkata parti itu dan PN memperteguh iltizam untuk bekerjasama dengan BN sebagai persefahaman yang tulen dan tidak merugikan.

Dia berkata ia bukanlah persefahaman yang berbentuk sandiwara. Tambahan pula, tambahnya, semua gabungan terbabit berbelanja untuk memastikan kerjasama tersebut berhasil.

“Kerjasama (tersebut) bukan wayang.. (sebab) habis duit. Orang-orang PAS pergi (kempen) berbelanja sendiri, sepenuh tenaga. Termasuk orang Umno juga habis duit…

“Wayang apa itu?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS