Ketika PN dan BN masih meraikan kejayaan yang diraih mereka pada Sabtu lalu, kedua-dua parti jelas turut melihat percaturan yang terbaik untuk menyertai satu lagi PRN yang dijangka menyusul – Melaka.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, malah tidak begitu peduli mengenai apa nama rasmi bagi kerjasama yang dijalin PN dan BN sebelum ini kerana baginya, ia tidak begitu penting.
Bagi Abdul Hadi, apa yang utama ialah usaha bersama kedua-dua parti dan perpaduan yang dicapai.
Justeru, dia yang juga Ahli Parlimen Marang menambah kedua-dua parti sentiasa berbincang dan melakukan penelitian pascanilai selepas berakhirnya PRN di Johor dan Negeri Sembilan.
Pun begitu untuk PRN Melaka Abdul Hadi menghantar isyarat yang sedikit berbeza.
Di sebalik tiada sebarang jawatan dalam PN, Abdul Hadi memberitahu media kerjasama seperti di Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya diulang di Melaka kerana tertakluk kepada perkembangan dan situasi setempat.
“Di Melaka mungkin lain ceritanya. Kerana di Melaka BN kosong dalam parlimen.
“Semua parlimen dimenangi oleh yang besarnya ialah PN, PAS, Bersatu.
“Yang baki (kerusi parlimen) lagi DAP dengan PKR dan Amanah. Adapun Dewan (Undangan) Negeri baik Umno yang menang banyak,” katanya seperti dipetik Harakahdaily semasa ditemui media do Kompleks PAS Negeri Sembilan kelmarin.
Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya sebagi “mungkin lain” itu.
Tak berbalah pembahagian jawatan
Tambah Abdul Hadi, di Melaka ada kerusi tertentu yang dimenangi PN sebelum ini.
“Namun kita (PN) akan berbincang pembahagian kerusi dengan cara lain daripada Negeri Sembilan,” tegasnya.
Untuk rekod secara keseluruhan Melaka mempunyai enam kerusi parlimen. Dalam PRU lalu PAS memenangi kerusi Jasin dan Tangga Batu, manakala Masjid Tanah dimenangi Bersatu.
Tiga lagi kerusi parlimen - Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka - dimenangi PH.
PN – yang kini dikuasai PAS – menjalin kerjasama secara rasmi dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan yang terbubar DUN negeri itu terkait dengan penarikan sokongan BN terhadap menteri besar terdahulu Aminuddin Harun.
Krisis itu juga dikaitkan dengan krisis takhta istana.

Kerjasama PN dan BN menyaksikan kedua-dua gabungan memperoleh majoriti lebih dua per tiga di DUN Negeri Sembilan. Secara keseluruhan DUN di negeri itu mempunyai 36 kerusi.
Untuk membentuk kerajaan negeri, sesebuah parti atau blok perlu memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi. BN memenangi 18 kerusi dalam PRN pada Sabtu lalu dan membentuk kerajaan dengan sumbangan tambahan tujuh kerusi lain daripada PN.
PH pula memenangi baki 11 kerusi lain.
Sementara itu Abdul Hadi berkata, PAS menyerahkan kepada pemimpin PN dan BN untuk menentukan susunan exco Negeri Sembilan.
Pada masa sama ahli politik berusia 78 tahun itu menjelaskan pembahagian exco dibuat berdasarkan kepada pembahagian kerusi yang dimenangi pada Sabtu lalu.
“Kita tidak berkelahi, tak berbalah lagi dalam pelantikan exco.
“Negeri Sembilan kita (PAS) dah tentu menteri besarnya ialah BN kerana mereka mendominasi Negeri Sembilan. Suasana Negeri Sembilan,” katanya lagi.
