Kemenangan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN di Negeri Sembilan adalah isyarat jelas bahawa rakyat kecewa dengan kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menangani isu kos sara hidup dan janji yang tidak ditunaikan, dan bukannya disebabkan sentimen politik perkauman.
Justeru, kata Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, dakwaan PH yang mengaitkan keputusan pilihan raya Sabtu lalu dengan politik perkauman adalah satu langkah menenangkan hati sendiri dan usaha mengelak daripada melakukan muhasabah diri.

“PH kata kemenangan PN-BN di Negeri Sembilan adalah kemenangan politik perkauman. Mudah benar buat kesimpulan.
“Adakah setiap kali orang Melayu memilih untuk bersatu, ia terus jadi perkauman? Tapi bila kaum lain bersatu memperjuangkan kepentingan mereka, itu pula dipanggil demokrasi.
“Hakikatnya, rakyat bukan mengundi kerana warna kulit. Rakyat mengundi kerana harga barang, kos sara hidup dan janji yang tidak ditunaikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Rafique, menuduh rakyat bersifat perkauman mungkin dapat menenangkan hati sendiri, tetapi ini tidak akan ubah keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
“Dalam demokrasi, rakyat tidak pernah silap memilih. Silapnya pada pemimpin yang enggan faham mengapa rakyat tidak lagi memilih mereka,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, gabungan BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN muncul sebagai parti terbesar dengan memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi. Pejuang adalah sekutu PN tetapi tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding pada PRN kali ini.

Rafique setetusnya memberi contoh keputusan pilihan raya di DUN Paroi yang menyaksikan calon PN, Kamarol Ridzuan Mohd Zain atau Pak Kam menang dengan majoriti besar 16,959 undi, sekali gus membuktikan sokongan rakyat rentas kaum terhadap pimpinan alternatif.
"Hakikatnya, rakyat bukan mengundi kerana warna kulit. Rakyat mengundi kerana harga barang, kos sara hidup dan janji yang tidak ditunaikan.
"Sukar untuk mengatakan ini semata-mata soal perkauman. Ini jauh lebih tepat dibaca sebagai satu isyarat jelas daripada rakyat terhadap sebuah pentadbiran yang gagal memenuhi harapan mereka," katanya lagi.
Rafique turut menarik perhatian mengenai kekalahan Anthony Loke di DUN Chennah yang menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina sendiri tidak lagi memberikan sokongan kepada DAP.
Mengulas isu penyatuan orang Melayu, dia menegaskan bahawa langkah tersebut bukan satu ancaman kepada kaum lain, sebaliknya hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Gelombang Biru bukan lahir daripada kebencian. Gelombang Biru lahir daripada kekecewaan terhadap kos sara hidup yang terus meningkat, ekonomi yang masih menghimpit dan janji-janji yang gagal dikotakan.

“Rakyat tidak minta perkara yang luar biasa. Mereka hanya mahu kehidupan yang lebih baik daripada semalam. Jika itu pun gagal diberikan, jangan salahkan rakyat bilamana mereka membuat pilihan alternatif,” katanya.
Dia turut menjangkakan sentimen perubahan itu akan terus menular sehingga ke peringkat pentadbiran pusat di Putrajaya sekiranya kerajaan sedia ada terus gagal memberikan prestasi yang memuaskan kepada rakyat.
