Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Walau tewas berturut-turut, PKR tegaskan perjuangan belum selesai
Diterbitkan:  Aug 3, 2026 4:49 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Sejak November lalu, nasib politik PKR dilihat semakin pudar susulan kekalahan berturut-turut tiga pilihan raya negeri (PRN) dengan terbaru di Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Sempena sambutan ulang tahun ke-23 PKR hari ini, setiausaha agungnya Fuziah Salleh mengimbau perjalanan parti itu sambil mengakui bahawa cita-citanya untuk membina Malaysia yang lebih baik masih belum tercapai.

Fuziah mengenang kelahiran PKR berikutan penggabungan antara Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 3 Ogos 2003.

Sambil menyatakan bahawa “detik bersejarah itu masih segar dalam ingatan”, anggota parlimen Kuantan tersebut berkata: "Ketika itu, kami bukan sekadar melancarkan parti politik baharu tetapi hasrat besar untuk membina Malaysia yang lebih adil dan berintegriti.”

“Saya masih ingat ketika Presiden PRM Allahyarham Prof Dr Syed Husin Ali dan Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) serta pejuang awal bersama-sama menggalas harapan membentuk PKR,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Fuziah, yang juga berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri dan kos sara hidup, melahirkan rasa syukur kerana diberi amanah sebagai Ketua Wanita PKR pertama ketika itu.

Dia juga mengimbau semula perjalanan membina sayap wanita dari utara Perlis hinggalah ke hujung Sabah, yang bukanlah sesuatu yang mudah.

“Setahun selepas PKR ditubuhkan, parti menerima tamparan yang cukup besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dengan hanya memenangi satu kerusi parlimen sahaja.

“Ramai yang merasakan perjuangan ini tidak akan mampu bertahan lama, tetapi kami memilih untuk terus ke depan dan belajar daripada setiap kelemahan hinggalah kami berjaya mencipta sejarah mengagalkan dua pertiga kerusi Parlimen PRU 2008,” katanya.

Tambahnya, walaupun melalui pelbagai ujian selama dua dekad, semua itu tidak pernah mematahkan semangat perjuangan.

“Alhamdulillah, segala pengorbanan akhirnya membuahkan hasil apabila (presiden PKR dan pengerusi PH) Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Mengimbau jatuh bangun parti, PKR mengajar kita bahawa perjuangan ini tidak pernah memilih jalan yang mudah. Namun, kita juga tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia dan kejayaan lampau.

“Setiap ujian mematangkan kita,setiap kekalahan membuka ruang untuk bermuhasabah dan setiap cabaran mengingatkan kita bahawa perjuangan membina sebuah Malaysia yang lebih baik masih belum selesai,” katanya.

Fuziah menambah bahawa perkara paling menyentuh hati adalah sepanjang perjalanan ini ramai tokoh dan sahabat seperjuangan telah kembali alam abadi

“Namun, nilai dan pengorbanan yang mereka tinggalkan akan terus menjadi warisan buat kita semua.

“Selamat Ulang Tahun PKR,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS