Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke malam ini mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah dan kekalahan parti itu di kubu kuatnya di Repah semasa PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menegaskan bahawa tiada tekanan ke atasnya untuk melepaskan jawatan parti itu selepas 22 tahun memegangnya, Loke menyifatkan langkah itu sebagai keputusan peribadinya yang bertujuan untuk menyerahkan tampuk pimpinan kepada pemimpin baru.

“Itu hasrat peribadi saya - untuk menyerahkan jawatan kepada orang lain.

“Walaupun ramai yang telah menyatakan sokongan mereka kepada saya (untuk kekal dalam DAP Negeri Sembilan) dan kami berjaya mengekalkan sembilan daripada 11 kerusi, saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk melantik pengerusi baru,” katanya.

Berucap pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur malam ini, Loke mengesahkan bahawa dia akan terus memimpin parti itu sebagai setiausaha agung.

Loke, yang telah menerajui DAP Negeri Sembilan sejak 2004, berkata dia akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri dalam beberapa hari akan datang untuk mengemukakan usul peletakan jawatannya dan memformalkan perkara itu.

Dia menambah bahawa tiada pemilihan semula diperlukan untuk mengisi kekosongannya kerana mana-mana ahli jawatankuasa negeri sedia ada boleh dilantik sebagai pengerusi baru.

Mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya, Loke menekankan bahawa DAP telah berkembang dengan ketara di Negeri Sembilan sejak dia mula memikul tugas itu.

"Apabila saya mula-mula mengambil peranan ini, kami memenangi dua kerusi, selepas sebelum ini tidak mempunyai sebarang kerusi. Kami membina parti itu dari situ dan seterusnya.

"Ia adalah rekod yang saya banggakan. Dari tahap terendah kami, selepas 22 tahun kami kini telah mengukuhkan kekuatan kami di Negeri Sembilan - secara perbandingan, kami jauh lebih kuat berbanding pada 2004," katanya.

Semasa PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, Loke tewas dalam usahanya untuk kekal sebagai Adun Chennah untuk penggal keempat selepas pertarungan sengit menentang pesaing tunggalnya, Siow Kong Choon dari MCA, yang memperoleh 688 undi lebih banyak daripada menteri pengangkutan itu.

DAP juga tewas kepada MCA di kerusi DUN Repah, dengan Veerapan Superamaniam hanya kurang 444 undi menentang Koh Kim Swee.

Loke selanjutnya mendedahkan bahawa CEC telah memberinya sokongan penuh dan mandat untuk terus memimpin parti itu di peringkat kebangsaan.

“Saya akan menumpukan perhatian kepada peranan saya sebagai setiausaha agung parti, dengan sokongan seluruh CEC.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus menyahut cabaran memimpin parti,” katanya.

Keputusan Loke dibuat ketika DAP menghadapi tekanan yang semakin meningkat susulan beberapa siri kekalahan pilihan raya, termasuk kekalahan teruk Pakatan Harapan di Johor bulan lalu.

Parti itu kini akan mengalihkan perhatiannya kepada persidangan kebangsaan pada 16 Ogos, dengan Loke menegaskan bahawa perwakilan akan memutuskan sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan persekutuan untuk baki penggalnya.

Keputusan besar sedemikian, tegas Loke, harus diserahkan kepada perwakilan parti dan bukannya ditentukan sepenuhnya oleh kepimpinannya.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan perwakilan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS