Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan naib pengerusi eksekutifnya Salim Fateh Din menyaman wartawan veteran P Gunasegaram berhubung artikel berkaitan LRT3 Laluan Shah Alam.
Dalam penyataan tuntutan bertarikh 29 Julai yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, plaintif menuntut ganti rugi RM100 juta atas dakwaan kemudaratan reputasi.
MRCB dan Salim mendakwa artikel itu menggambarkan syarikat itu mendapat projek LRT3 melalui kronisme, naungan dan hubungan politik, bukan melalui proses perolehan berasaskan merit yang telus.
Mereka juga mendakwa artikel itu membayangkan MRCB bertanggungjawab terhadap kos projek yang lebih tinggi dan serta kelewatan.
Mereka juga mendakwa artikel itu membayangkan Salim memanfaatkan hubungan politik untuk mendapatkan kelebihan komersial bagi syarikat itu.
Plaintif menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya tidak benar, tidak berasas serta tanpa justifikasi sah.
MRCB dan Salim mengeluarkan surat tuntutan kepada Gunasegaram pada 10 Julai yang menuntut artikel itu dipadam, serta permohonan maaf dan penarikan balik sepenuhnya.
Mereka mendakwa Gunasegaram gagal mematuhinya, sebaliknya mempertahankan artikel itu sebagai komen adil.
MRCB dan Salim seterusnya menuduh Gunasegaram gagal mendapatkan ulasan mereka sebelum menerbitkan dakwaan berkenaan.
Mereka mendakwa artikel itu merosakkan reputasi dan kredibiliti mereka, menjejaskan keyakinan dalam kalangan pelabur dan rakan perniagaan, serta memberi kesan buruk kepada harga saham MRCB.
Selain ganti rugi RM100 juta bagi kehilangan reputasi, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan/atau ganti rugi teladan.
Mereka juga menuntut perintah injunksi bagi memaksa Gunasegaram memadamkan penerbitan yang dipertikaikan dan menghalang dia daripada menerbitkan bahan serupa.
