Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pemberian dividen yang tinggi ketika Tabung Haji (TH) rugi adalah sumber kewangan yang haram diterima pendeposit.
Katanya, umat Islam tidak seharusnya gembira dengan kadar dividen yang tinggi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira soal halal ataupun haram dengan memastikan pemberian dividen mengikut peraturan ditetapkan.
Mujahid membidas tindakan orang Umno dan segelintir orang Melayu yang gembira dengan kadar hibah tinggi meskipun TH mengalami kerugian.

"Orang Melayu yang kata tak apalah bagi dividen (tinggi) apa masalah. Tetapi apa piawaian dia? Kalau itulah hawa nafsu kamu seronok mendapat duit atas yang haram.
"Maksud haram tadi, langgar undang-undang, kamu tak buat kira-kira yang betul. Maka sebagai umat Islam, di mana maruah kita menerima dividen (tinggi), seronok?
“Tapi kita tahu dividen itu tidak betul dan ia adalah satu penipuan," katanya dalam siaran audio siar Kini Jelas terbitan KiniTV.
Tembual itu merungkai pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH).
Laporan RCI mengenai TH didedahkan kepada umum pada 29 Jul lalu selepas hampir tiga tahun dikeluarkan.
Laporan itu mendedahkan amalan agihan keuntungan (hibah/dividen) yang tinggi oleh TH antara tahun 2014 hingga 2017 melibatkan teknik "perakaunan kreatif", pembayaran menggunakan dana atau modal pendeposit sendiri dan bukannya keuntungan sebenar, serta melanggar Akta TH.

Selain itu laporan RCI juga turut mendedahkan bayaran bonus dalaman antara dua hingga 13 bulan gaji kepada kakitangan dan pengurusan antara 2010 hingga 2017, serta mengesyorkan kutipan semula bonus RM2.19 juta kepada pengarah TH Properties.
Dalam laporan setebal 252 muka surat itu, RCI berkata pembayaran bonus oleh TH Properties pada 2017 dan 2018 melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 kerana tidak memperoleh kelulusan serta resolusi pemegang saham yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata sebagai umat Islam dan institusi Islam, mereka sepatutnya menghormati undang-undang.
"Ini dah tak ikut undang-undang (pertama).Yang kedua, engkau menipu pula. Engkau menipu dengan engkau putarkan semua keuntungan itu, engkau letak nilai ambang yang berbeza-beza, tiga kali engkau tukar (nilai ambang) untuk bagi cantik kau punya hujung tahun, kau punya kira-kira.
“Dan engkau tidak merekodkan kerugian.
"Maka ini soal tidak amanah..maknanya engkau tidak amanah menjaga duit umat Islam," katanya lagi.
