Penyelaras Parlimen Ampang yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, memberi komitmen untuk memastikan penyampaian bantuan dan kebajikan kepada penduduk di kawasan itu dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
Kata Azman usaha berkenaan akan diselaraskan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri serta agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan berkesan.
Azman berkata demikian susulan amanah yang diberikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kepadanya untuk berkhidmat sebagai penyelaras di kawasan Parlimen Ampang.
"Sebarang permohonan bantuan berkaitan kebajikan rakyat di kawasan parlimen Ampang boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri bagi tujuan penyelarasan sewajarnya," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.
Menurut Azman, penyampaian bantuan itu turut akan diselaraskan bersama Adun dalam kawasan parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian.
Kata Azman dia bersama pasukannya komited melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti bagi memastikan kebajikan rakyat di parlimen Ampang terus menjadi keutamaan.
- Bernama
