Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menegaskan dakwaan kononnya Islam semakin terpinggir di negara ini sebagai tidak berasas, sebaliknya syiar agama itu terus diperkasakan menerusi peningkatan peruntukan kerajaan, pengukuhan institusi agama dan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan Islam.
Yang Dipertua Yadim Hasan Bahrom berkata kedudukan serta pembangunan Islam, tidak seharusnya dinilai berdasarkan percaturan kuasa atau pihak yang memegang tampuk pemerintahan, sebaliknya melalui dasar dan usaha yang dilaksanakan.
“Dakwaan bahawa ada pihak sedang membawa agenda yang menyambung kerja penjajah serta menghakis kedudukan Islam dan Melayu, juga perlu dinilai berdasarkan fakta dan tindakan yang berlaku.
“Hakikatnya, di bawah Kerajaan Madani, peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.9 bilion pada 2024, RM2 bilion pada 2025 kepada RM2.6 bilion bagi 2026,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata peningkatan itu merangkumi pelbagai keperluan pembangunan Islam, termasuk pendidikan, institusi agama, masjid dan pembangunan insan.
Hasan berkata kesungguhan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, meneliti dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji juga membuktikan komitmen memperkukuh tadbir urus dan memelihara amanah umat.
Beliau berkata masyarakat perlu mengamalkan budaya berbeza pandangan secara matang dengan mengemukakan fakta dan hujah, bukannya menjadikan perbezaan pendapat sebagai ruang untuk menyerang peribadi, menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan.
Pada masa sama, beliau berkata syiar Islam Malaysia terus mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa menerusi penganjuran program seperti Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa serta Sama' Hadis yang menghimpunkan ulama, ilmuwan dan peserta dari pelbagai negara.
- Bernama
