Polis berkata anak anjing yang terbunuh di Port Dickson mati akibat kemalangan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebaliknya.
Kita kini melihat apa yang ditunjukkan dalam rakaman. Anak anjing itu sedang tidur di atas jalan. Ia tidak berlari ke arah kenderaan yang bergerak. Ia ia tidak melintas secara tiba-tiba.
Ia berada di tempat di mana pemandu mempunyai setiap peluang untuk melihatnya, dan setiap peluang untuk berhenti.
Pemandu tidak berhenti. Pemandu melanggarnya. Kemudian kenderaan itu mengundur.
Dan melanggarnya sekali lagi.
Kereta tak mengundur secara tidak sengaja
Timbalan OCPD DSP Mohd Ruslan Mat Kib memberitahu media bahawa ia bukan disengajakan, tetapi kemalangan, dan fail kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Kami mengajukan soalan mudah sebagai maklum balas: bahagian mana dalam urutan ini yang merupakan kemalangan?
Adakah kemalangan kerana gagal melihat haiwan yang sedang tidur di kawasan terbuka? Atau tidak sengaja memasukkan gear undur, bergerak ke belakang ke tempat yang sama, dan memandu ke hadapan melaluinya buat kali kedua?
Satu pelanggaran mungkin, dalam pandangan paling bertolak ansur, boleh dipanggil nasib malang. Mengundur semula ke atas haiwan yang kaku dan terlanggar bukan nasib malang. Ia bukan momentum. Ia bukan kelalaian tumpuan.
Ia tindakan sengaja dan terkawal yang memerlukan pemandu menyemak cermin sisi, memasukkan gear undur, dan memilih arah.
Anda tidak mengundur secara tidak sengaja ke atas badan yang baru anda langgar. Anda perlu buat keputusan untuk lakukannya.
Perkataan yang mudah, digunakan terlalu awal
"Kemalangan" bukan dapatan. Ia bukan hasil laporan forensik veterinar, bukan juga analisis rakaman CCTV yang kami faham wujud dan menunjukkan dengan tepat apa yang berlaku.
Ia perkataan yang dilontarkan kepada media pada hari Ahad, sebelum bukti diperiksa dengan sewajarnya. Dan ia memberi kesan buruk, membentuk pandangan awam terhadap kes sebelum fakta diberikan pertimbangan.
Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) tidak menerima pencirian itu, dan kami tidak percaya ia akan bertahan apabila diselaraskan dengan rakaman berkenaan.
Rujuk pada Jabatan Veterinar
Rujukan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bukan jawapan penuh. DVS boleh mengesahkan punca kematian. Ia tidak boleh menggantikan siasatan polis terhadap apa yang dilakukan oleh pemandu, dan sebabnya, sebaik sahaja rakaman diambil kira.
GHRF menegaskan semula bahawa kes ini tergolong bawah Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015–kejam melibatkan pukulan, menakutkan atau menyeksa haiwan, dan secara sesuka hati atau tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak perlu.
Pemindahan kes kepada DVS tidak menghilangkan kewajipan polis untuk menyiasatnya sebagai kes sedemikian.
Apa yang dituntut?
Rakaman CCTV mesti disemak secara bebas bukan diringkaskan, disemak oleh penyiasat, dan kandungannya disediakan untuk menyokong atau membetulkan pencirian awam mengenai kes ini.
Laporan forensik veterinar mesti disiapkan dan dijadikan sebahagian daripada siasatan polis, bukan diperlakukan sebagai pengganti siasatan.
Polis mesti menyatakan secara rasmi sama ada "kemalangan" kesimpulan yang dicapai selepas menyemak rakaman CCTV, atau ulasan awal yang dibuat sebelum ia disemak.
Kes ini mesti diklasifikasikan, disiasat dan jika wajar didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, bukan diselesaikan secara senyap sebagai isu remeh.
Satu perkataan digunakan. Ia adalah "kemalangan." Ia tidak sesuai bagi pemandu yang berhenti, mengundur, dan melanggar haiwan yang sama sebanyak dua kali. GHRF tidak akan membiarkan perkataan itu menutup kes ini sebelum rakaman dilihat dengan sewajarnya.
Pernyataan saksi belum diambil
GHRF juga ingin menyerlahkan bahawa saksi yang tampil, membuat laporan polis dan menyediakan rakaman CCTV berkaitan memaklumkan GHRF bahawa, sehingga kini, dia tidak dipanggil untuk memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat bawah Seksyen 112.
Walaupun tampil secara sukarela, membuat laporan dan menyediakan bukti CCTV yang berpotensi penting berkaitan insiden itu, dia memaklumkan kami bahawa dia tidak ditemu bual secara rasmi atau dipanggil untuk memberikan bantuan lanjut dalam siasatan.
Ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai cara siasatan dikendalikan. Kami amat bimbang polis tidak kelihatan merawat kes yang melibatkan dakwaan sengaja melanggar anjing liar ini dengan keseriusan dan ketersediaan yang sepatutnya.
Apabila saksi tampil, membuat laporan dan menyediakan bukti CCTV, kami percaya petunjuk ini perlu diteliti dan disiasat sepenuhnya.
Oleh itu, GHRF menggesa polis menjalankan siasatan yang wajar, menyeluruh dan saksama, termasuk merakam kenyataan saksi bawah Seksyen 112, mendapatkan dan memeriksa rakaman CCTV, serta mengambil semua langkah yang perlu untuk menentukan fakta penuh dan keadaan berkaitan insiden ini.
Orang ramai berhak mengetahui bahawa dakwaan kekejaman terhadap haiwan diambil serius dan disiasat dengan segera, sungguh-sungguh dan secara wajar.
S SHASHI KUMAR adalah presiden GHRF.
Tulisan ini diterjemah daripada versi asal dalam bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
