Bekas Speaker DUN Johor, Mohd Puad Zarkashi, hari ini menawarkan tiga pilihan yang ada kepada Bersatu ketika parti itu sedang berdepan dengan tekanan dalaman berhubung kedudukannya dalam PN.
Menurut Mohd Puad, ketika ini Bersatu - yang dipimpin bekas Menteri Besar Johor dan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin - berada dalam keadaan lemah, seperti hidup segan mati tidak mahu.
Pada pandangannya Bersatu akan mengalami nasib parti kecil lain yang pernah ada seperti Berjasa dan Pejuang.
Namun dalam keadaan begitu, kata Mohd Puad, Bersatu seperti tiada harga diri kerana kekal wujud namun tiada kekuatan atau pengaruh.
"Bersatu ada tiga option (pilihan). Pertama, lebih baik bubar dan 'jual' kepada sesiapa yang minat.
"Contohnya Parti Cinta Malaysia (yang) 'dijual' kepada Hamzah (Zainudin) dan kemudian tukar kepada nama baru, Wawasan," katanya dalam hantaran di media sosial.
Pilihan kedua, tambah bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi, ialah menubuhkan gabungan baru, namun langkah itu perlu dibuat dengan betul kerana memerlukan rakan komponen yang berpengaruh.
Pilihan terakhir pada pandangan Mohd Puad ialah kekal di dalam PN dan mengikhtiarkan langkah untuk menguasai semula PN - yang kini sudah dikuasai PAS.
Bersatu semalam disahkan masih menjadi sebahagian daripada komponen PN di sebalik kenyataan terbuka Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bahawa keanggotaan parti berkenaan sudah tergugur secara automatik.
Alasan Abdul Hadi - yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam PN - ialah, Bersatu mengumumkan rancangan menubuhkan gabungan baru.
Malah Abdul Hadi menegaskan PN tidak perlu mengeluarkan sebarang surat rasmi mengenai status Bersatu.
Namun semalam Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Naib Presiden PAS mengesahkan Bersatu masih menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.
Menurut Mohd Puad ketika ini pilihan yang terbaik untuk Bersatu ialah kekal di dalam PN.
"Biar orang nampak buruknya cara PAS berkawan. Semoga Umno sedar diri dan tidak syok sendiri," katanya lagi.
