Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi tak pasti Jho Low individu 'nombor 1' dalam skandal 1MDB
Diterbitkan:  Aug 10, 2026 7:54 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Seorang pakar pemulihan aset luar pesisir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dia tidak pasti sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, adalah individu “nombor satu” dalam dakwaan konspirasi membabitkan dana 1MDB.

Pengarah Urusan Kroll (Cayman) Ltd merangkap Ketua Amalan Luar Pesisir Kroll, Angela Barkhouse, bagaimanapun berkata individu yang menerima dana berkenaan adalah pihak yang menjadi tumpuannya.

DIa berkata demikian ketika disoal peguam utama Najib Razak, iaitu Muhammad Shafee Abdullah, pada hari kelima perbicaraan kes saman AS$5.64 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas perdana menteri itu dan enam lagi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Muhammad Shafee menyoal jika Angela pernah bertemu dengan Jho Low atau mendengar nama ahli perniagaan itu sepanjang siasatannya, dan dia menjawab “ya”.

Peguam itu kemudian bertanya sama ada dia setuju bahawa Jho Low - atau nama sebenarnya, Low Taek Jho - adalah individu utama dalam kontroversi serta dakwaan konspirasi untuk memusnahkan 1MDB.

Angela menjawab: “Antara lain, ya.”

Apabila Muhammad Shafee menyoal sama ada Angela menganggap Jho Low sebagai individu “nombor satu” dalam dakwaan konspirasi itu atau tidak, saksi itu berkata dia tidak pasti.

Ketika peguam itu bertanya siapa lagi yang mungkin terlibat berdasarkan ketidakpastian saksi berkenaan - sambil menyatakan pasti ada pihak lain dalam entiti yang dikesan olehnya semasa siasatan - Angela menjawab individu yang menerima dana adalah pihak yang menjadi tumpuan dia.

Muhammad Shafee: Ini termasuk anak guam saya (Najib), betul?

Angela: Ya.

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib, 73, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd serta Global Diversified Investment Company Ltd, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman sivil itu pada 7 Mei 2021.

Mereka menamakan Najib serta bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Beng Huat Koh; bekas Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad; bekas Pengarah Pelaburan, Kelvin Tan Kay Jim serta bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Menurut writ saman itu, plaintif antaranya mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan berkanun, menyalahgunakan kuasa serta berpakat untuk menyalahgunakan dana 1MDB.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS