Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Komen Hadi terkait status Bersatu dibuat dari sudut moral politik
Diterbitkan:  Aug 10, 2026 9:08 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Pertimbangan dari segi moral - itu dasar di sebalik kenyataan dibuat Abdul Hadi Awang terkait kedudukan Bersatu dalam PN yang didakwanya sudah tergugur secara automatik baru-baru ini.

Mempertahankan kenyataan Presiden PAS itu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata dalam politik sesuatu kenyataan perlu dilihat dari konteks yang sepatutnya.

Dia yang juga Setiausaha Agung PAS menjelaskan dalam kedua-dua aspek itu berbeza.

“Kena tengok juga kenyataan (Abdul Hadi) itu, kenyataan dari sudut apa.

"Dalam politik ini dia ada kenyataan dari sudut moral politik, yang keduanya, dari sudut legalistiknya. Dari segi legalistik lain, dari segi moral lain,” katanya di Kota Bharu malam semalam.

Sebelum itu Takiyuddin mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Muktamar Tahunan PAS Ke-72.

Jumaat lalu Abdul Hadi menyatakan Bersatu bukan lagi sebahagian daripada komponen PN ekoran tindakan pemimpinnya, Muhyiddin Yassin, mengumumkan mahu menubuhkan gabungan baru.

Menurut Abdul Hadi, tindakan itu - yang dianggapnya menjerat diri sendiri - meletakkan Bersatu tersingkir secara automatik dari PN. Malah, kata Ahli Parlimen Marang itu, PN tidak perlu mengeluarkan sebarang surat rasmi mengenainya.

Bagaimanapun semalam Pengerusi PN merangkap Naib Presiden Bersatu Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Bersatu masih satu daripada parti komponen PN sehinggalah ada keputusan rasmi dibuat.

Hari ni juga Ahmad Samsuri menjelaskan kedudukan Bersatu tertakluk kepada peraturan dan muafakat yang dipersetujui dalam PN, dan bukan atas kehendaknya selaku pengerusi gabungan berkenaan.

Untuk rekod Abdul Hadi tidak mempunyai sebarang jawatan lagi dalam PN.

Menurut Takiyuddin dengan langkah diambil Bersatu bertanding dalam pilihan raya negeri baru-baru ini melawan calon PN lain, boleh dipersoalkan kedudukan parti tersebut sama ada masih mahu kekal bersama atau sebaliknya.

"Dari segi moral politiknya seolah-olah dia dah tak mahu lagi (bersama PN)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS