PARLIMEN l Kerajaan berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion pada 2018 sekiranya berlaku pengeluaran panik secara besar-besaran (bank run), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata pada ketika itu juga, usaha mendapatkan pembiayaan siap sedia (standby financing) sebagai persediaan jika berlaku pengeluaran panik secara besar-besaran gagal.
“Sekiranya Tabung Haji (TH) runtuh, kerajaan berisiko menanggung liabiliti sekitar RM74.5 bilion kerana keseluruhan simpanan di TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Katanya TH ketika itu berdepan dengan situasi genting apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti TH melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018 dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian.
“Sekiranya aset tidak melebihi liabiliti pada akhir tahun, TH tidak boleh mengisytiharkan agihan keuntungan bagi tahun 2018 dan berisiko menghadapi pengeluaran wang panik secara besar-besaran,” katanya.
Pengeluaran panik RM6 bilion berlaku lepas hibah 1.25 peratus
Zulkifli menjelaskan pengeluaran panik benar-benar berlaku pada 2019 melibatkan pengeluaran bersih berjumlah RM6 bilion dalam masa singkat apabila hibah pada kadar 1.25 peratus diisytihar bagi 2018 pada awal 2019.
“Bayangkan jika tiada hibah diisytiharkan bagi tahun 2018? Berapakah jumlah pengeluaran panik yang mungkin berlaku?,” katanya.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.
Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.
- Bernama
