PARLIMEN l Persidangan Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) bertukar riuh susulan blok pembangkang mendesak supaya sesi berkenaan ditangguhkan berikutan ketidakhadiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketegangan bermula apabila Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan mengemukakan usul penangguhan tersebut, sebelum disokong oleh beberapa ahli parlimen pembangkang lain.

Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) membandingkan situasi berkenaan dengan majlis perkahwinan yang tidak dihiasi kehadiran watak utamanya.
"Sekarang majlis perkahwinan nak dibuat, pengantin tak datang," sindirnya di Dewan Rakyat, hari ini.
Pandangan itu bagaimanapun ditepis Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul yang menegaskan bahawa ketiadaan Anwar tidak menjejaskan perjalanan persidangan kerana wakil kerajaan yang lain masih berada di Dewan.
"Tak ada majlis perkahwinan. Dengar ya semua, kita semua termasuk saya terikat dengan perkara 11 (3), maknanya bila perdana menteri memohon untuk adakan persidangan ini, beliau hantar surat dan saya akur untuk benarkan majlis ini diadakan.
"Ia bukan majlis perkahwinan ya, tetapi majlis persidangan.
“Namun untuk katakan perdana menteri tidak ada (hari ini), kita (masih ada) timbalan perdana menteri (Ahmad Zahid Hamidi) di sini, mewakili kabinet dan juga menteri lain.

"Jadi, kita teruskan (sesi sidang khas)," tegas Johari smbil disusuli pertikaman lidah yang kemudiannya turut melibat ahli parlimen lain seperti Shahidan Kassim (PN-Arau), Awang Hashim (PN-Pendang), dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).
Shahidan berhujah bahawa kewujudan Anwar amat penting memandangkan ahli Parlimen Tambun itu kerap membangkitkan isu berkaitan dakwaan penyelewengan dalam TH.
"Semasa saya berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sembilan, tiba-tiba keluar berita RCI TH. Saya minta supaya cadangan Ketua Whip PN disokong kerana apa yang asyik disebut pada kempen di PRN Negeri Sembilan, ada orang sakau," kata Shahidan sebelum diminta duduk oleh Speaker untuk menyalurkan pandangannya semasa perbahasan kelak.
Sementara itu, Sany mempertikaikan motif pembangkang yang mendesak penangguhan persidangan berkenaan sambil menegaskan pentadbiran negara beroperasi atas prinsip kebertanggungjawaban kolektif.

"Saya nak minta petua Speaker, saya baca dalam buku peraturan ini yang menyebut perdana menteri boleh adakan persidangan ini dan tak semestinya (PM) ada dalam sesi ini.
"Kabinet ini bekerja secara kolektif. Kalau PM tak ada, timbalan perdana menteri ada, dia boleh jawab, malah Menteri Kewangan II (Amir Hamzah Azizan) dan Menteri Agama (Zulkifli Hasan) pun ada.
"Jadi apa masalahnya? Saya rasa kita teruskanlah persidangan ini sebab rakan kita dari Sabah, Sarawak sudah datang, belanja hotel, minyak, inilah (sikap pembangkang), nak bagi rugi (bila tangguh sidang)," katanya lagi.
