Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang memperkemas dan memperkukuh susunannya supaya lebih sistematik, jelas dan berwibawa.
RUU itu, yang sebelum ini dibentangkan oleh Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan, dibahaskan oleh anggota Dewan Undangan Negeri dari Pasir Tumboh, Melor, Galas, Jelawat, Kota Lama dan Chempaka.
Selepas bacaan kedua dan ketiga, RUU itu diluluskan sebulat suara di hadapan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah.
Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud, berkata RUU itu merupakan perundangan yang diberi nilai tambah secara teliti dan melalui pelbagai peringkat.
“Keistimewaan RUU ini terletak pada pemugarannya yang berpaksikan maqasid syariah dengan setiap peruntukan kesalahan disusun rapi demi memastikannya selari dengan objektif pensyariatan Islam.
“Pendekatan ini bukan suatu langkah yang asing, kerana RUU ini merupakan roh yang sedia wujud dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019,” katanya.
RUU itu meliputi sembilan bahagian, 62 fasal dan satu jadual dengan beberapa pembaharuan termasuk peruntukan berkaitan kewajipan solat fardu, penjagaan kemaluan dan anggota badan, penjagaan akal, hukuman restoratif, mengutamakan hukuman sebatan serta mekanisme kompaun.
Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 8-1 mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.
