Individu yang dikaitkan dengan kematian anjing bernama Rocky ketika operasi penangkapan anjing liar di Klang, Selangor sebelum ini menegaskan dia tidak berniat mencederakan, apatah lagi membunuh haiwan berkenaan.
Shah HIzam, 24, menjadi sasaran kemarahan netizen selepas tular video mendakwanya bertindak kejam dengan menyeksa dan membunuh anjing berkenaan di Taman Telok Gedong Indah, Klang pada 29 Julai lalu.
Bagaimanapun, Shah berkata dia hanya berada di lokasi itu kejadian untuk menjalankan tugas dan tidak berniat menyebabkan kematian Rocky, malah turut bersedih atas kematian haiwan tersebut.
“Saya tak sokong kekejaman haiwan, jauh sekali berniat nak mencederakan atau membunuhnya.

"Saya tidak hadir pada malam itu dengan niat untuk mencederakan, jauh sekali untuk membunuh mana-mana haiwan," katanya ketika sidang media #Justiceforshah di Bukit Jelutong, di Shah Alam hari ini, lapor Harian Metro.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah pendakwah bebas Firdaus Wong serta peguam Rafique Rashid Ali, Mahmud Jumaar dan Akif Rusli.
Menurut Rafique, identiti Shah kini didedahkan secara meluas (doxxing), dilabel sebagai pembunuh serta menerima ancaman bunuh terhadap diri dan keluarganya.
Rafique berkata pasukan peguam kini sedang mengumpulkan semua komen berunsur ancaman dan fitnah terhadap anak guamnya.
"Kita tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang sivil, termasuk saman fitnah ke atas individu atau portal yang mencetuskan provokasi dan memburukkan nama Shah," katanya.
Mengulas mengenai kejadian itu, Rafique berkata Shah hadir sebagai wakil penduduk selepas dijemput secara bertulis oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Sama Gagah, Taman Teluk Gedung Indah, Klang untuk membantu operasi rasmi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Katanya, semua peserta operasi terlebih dahulu diberi taklimat oleh anggota MBDK, termasuk cara menjalankan tangkapan serta penggunaan alat penjerut leher untuk menangkap anjing.
Menurut Rafique, berdasarkan keterangan Shah, keadaan menjadi kecoh apabila seorang wanita yang mengaku sebagai pemilik Rocky memeluk dan duduk di atas badan anjing itu bagi menghalangnya daripada dibawa pergi.
"Waktu itu berlaku tarik-menarik sedangkan alat loop masih ada kat leher Rocky. Keadaan jadi tegang dan sangat kelam-kabut," katanya.
Sebelum ini, pemilik Rocky, Roghini Devi mendakwa jiran memaklumkan anjing itu dipukul menggunakan kayu, batang besi dan paip PVC sehingga membuang najis sebelum alat gelung dilekatkan pada lehernya.

Dia turut mendakwa individu yang memegang Rocky enggan melepaskannya kerana dia tidak mempunyai lesen anjing. Dia mengakui perkara itu dan berkata bersedia menyerahkan Rocky sendiri kepada pihak berkuasa tempatan.
“Saya berkali-kali merayu mereka supaya melepaskannya, tetapi mereka terus menarik tali itu,” katanya, sambil mendakwa beberapa individu menghalangnya dan keluarganya daripada membebaskan Rocky, malah seorang daripada mereka memukulnya dengan kayu.
Menurut laman web MBDK, pemilik anjing diwajibkan mendapatkan lesen mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing 2007.
Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kematian Rocky kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh haiwan dengan sengaja.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor turut menjalankan siasatan berhubung dakwaan kekejaman terhadap haiwan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.
