Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid bela Hadi: Wee, Saravanan bukti Tok Guru tak ekstrem
Diterbitkan:  Aug 14, 2026 11:09 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim hari ini mempertahankan Abdul Hadi Awang daripada serangan pihak lawan kerana memberi gambaran bahawa Presiden PAS itu seorang yang ekstrem atau rasis.

Menurut Zaid, usaha berterusan untuk menggambarkan Abdul Hadi sebagai pemimpin ekstrem perlu dihentikan kerana, pada pandangannya, kenyataan seorang ulama kadangkala tidak dihuraikan sepenuhnya mengikut keadaan dan konteks.

"Apabila dia berkata seorang pemimpin Islam mesti memimpin negara Islam, tidak bermaksud beliau enggan menerima orang bukan Islam sebagai pemimpin," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Dia yang baru-baru ini menyertai PAS menambah, ada bukti bagi menunjukkan sikap terbuka Abdul Hadi.

Misalnya, tambah Zaid, pendirian dibuat Abdul Hadi ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan selepas 2020.

"Ketika PAS berada dalam kerajaan persekutuan pada 2020 hingga 2022, adakah mereka membantah Wee Ka Siong, Saravanan dan Maximus Ongkili menjadi menteri? Tidak," katanya.

Zaid merujuk kepada tiga pemimpin bukan Melayu Islam yang menyertai kabinet iaitu Presiden MCA (Wee), Timbalan Presiden MIC (M Saravanan) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (Maximus).

Zaid turut mengingatkan bahawa PAS pernah menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat bersama DAP dan ketika itu tidak banyak kedengaran tentang sikap Abdul Hadi yang menyatakan sikap bermusuhnya kepada orang bukan Melayu atau bukan Islam.

Menurut Zaid lagi, perubahan sikap terhadap Abdul Hadi dalam kalangan musuh politik hanya berlaku apabila PAS dilihat semakin kukuh.

"PAS kini semakin kuat, tetapi ia tidak boleh memerintah negara ini sendirian. Itu mustahil. Pembahagian kerusi sudah menjelaskan segala-galanya,” tambah bekas Ketua Umno Kota Bharu itu lagi.

Apa yang mahu ditegaskan oleh Abdul Hadi, kata Zaid, ialah bagaimana penekanan kepada faktor pemimpin utama negara.

"Tok Guru (Abdul Hadi) bermaksud bahawa di Malaysia, pemimpin utama – iaitu perdana menteri –perlu beragama Islam, sebagaimana di Thailand ketua negaranya perlu beragama Buddha," katanya.

Dia turut membuat perbandingan dengan Singapura dan Indonesia, sambil mendakwa kepimpinan politik negara-negara berkenaan masing-masing didominasi kaum tertentu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS