DAP akan berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinet mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh perwakilan parti berhubung dasar kerajaan dan langkah-langkah reformasi, susulan keputusan parti itu untuk kekal dalam kerajaan Persekutuan.
Bercakap pada sidang media selepas keputusan itu diumumkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menegaskan bahawa parti itu menghormati pandangan perwakilannya dan akan terus memainkan peranan dalam kerajaan.
"Kami sebahagian daripada Kabinet dan kerajaan, (jadi) kami akan membawa maklum balas daripada perwakilan kami melalui saluran Kabinet," kata Loke pada penghujung Konvensyen Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
"Terdapat beberapa pandangan kritikal. Majoriti mengundi untuk kekal, tetapi terdapat juga pandangan kritikal yang mahu kerajaan lebih tegas," tambah Loke yang juga Menteri Pengangkutan.
Ahli Parlimen Seremban itu turut merujuk ucapan Anwar pada Kongres Nasional PKR 2026 hari ini, ketika Presiden PKR itu berkata dia bercadang mengumumkan beberapa perubahan segera yang mahu dilaksanakan kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober.

"Perdana Menteri sendiri sudah memberikan tempoh masa - (pengumuman) pada 30 Ogos sempena Hari Merdeka, 16 September sempena Hari Malaysia dan awal Oktober.
"Saya fikir kita perlu memberi sedikit ruang kepada Perdana Menteri," kata Loke.
Pengumuman Anwar
Malay Mail melaporkan bahawa perubahan yang akan diumumkan Anwar melibatkan dasar kerajaan, isu dalaman PH serta kerjasama antara parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR dilaporkan berkata dia akan mula berkongsi butiran mengenai beberapa perubahan itu pada lusa, menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Sementara itu, Loke turut menolak dakwaan bahawa DAP merancang perhimpunan dan usul hari ini untuk "menekan perdana menteri dengan agenda DAP".

"‘Agenda DAP’ itu adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam PH dan juga dipersetujui bersama dalam kerajaan perpaduan.
"Terdapat komitmen reformasi yang telah dipersetujui dan kami berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.
Loke berkata antara langkah reformasi kerajaan di Putrajaya yang menjadi agenda bersama ialah usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Dia turut menyenaraikan beberapa perkara lain dalam senarai hasrat DAP berdasarkan isu yang dibangkitkan dalam perbahasan hari ini, termasuk mengkaji semula kuota diesel bagi Sabah dan Sarawak.
"Ini semua merupakan perkara penting dan mendesak bagi rakyat yang kami harap dapat dibincangkan bersama.
"Saya percaya Perdana Menteri juga memahami sentimen rakyat berhubung isu kos sara hidup," katanya.
