Wang hibah yang diterima pendeposit Tabung Haji (TH) pada tahun-tahun yang mencatatkan defisit kewangan adalah sah dimiliki dan tidak perlu dipulangkan, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Dalam tulisan Tinta Mufti yang disiarkan semalam, jelasnya syariah mengiktiraf pendekatan mengesahkan transaksi yang telah berlaku bagi melindungi hak pihak yang berkontrak serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Pendekatan itu selari dengan kaedah fiqh yang mengangkat kesukaran sebagai prinsip yang diterima dalam syariah, khususnya apabila melibatkan urusan yang telah selesai dan memberi kesan kepada jutaan pendeposit.

Menurutnya, hibah berkenaan tidak boleh dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah kerana penerimaannya dibuat berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya.
"Wang hibah yang telah diterima oleh para pendeposit pada tahun-tahun defisit tersebut adalah sah sebagai milik mereka dan tidak perlu dipulangkan.
"Ia bukan harta haram atau syubhah kerana diterima berdasarkan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya," katanya.
Tulisan Tinta Mufti Wilayah Persekutuan itu mengulas mengenai kesahihan hibah pendeposit Tabung Haji (TH) susulan penemuan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Pada 5 Ogos lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pemberian dividen yang tinggi ketika Tabung Haji (TH) rugi adalah sumber kewangan yang haram diterima pendeposit.
Dia dilaporkan berkata, umat Islam tidak seharusnya gembira dengan kadar dividen yang tinggi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira soal halal ataupun haram dengan memastikan pemberian dividen mengikut peraturan ditetapkan.

Mujahid membidas tindakan orang Umno dan segelintir orang Melayu yang gembira dengan kadar hibah tinggi meskipun TH mengalami kerugian.
"Orang Melayu yang kata tak apalah bagi dividen (tinggi) apa masalah. Tetapi apa piawaian dia? Kalau itulah hawa nafsu kamu seronok mendapat duit atas yang haram.
"Maksud haram tadi, langgar undang-undang, kamu tak buat kira-kira yang betul. Maka sebagai umat Islam, di mana maruah kita menerima dividen (tinggi), seronok?
“Tapi kita tahu dividen itu tidak betul dan ia adalah satu penipuan," katanya.
Sementara itu, Mufti Wilayah berkata, mana-mana pendeposit yang telah menggunakan wang hibah berkenaan, termasuk bagi tujuan menunaikan ibadah haji, tidak perlu bimbang kerana ibadah mereka adalah sah dan tidak terjejas.

Pada masa sama, beliau berkata isu salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang serta dakwaan pelaporan perakaunan kreatif adalah tanggungjawab pihak pengurusan ketika itu dan bukannya pendeposit yang tidak mengetahui kedudukan sebenar kewangan institusi berkenaan.
"Malah, mana-mana jemaah yang telah menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah berkenaan tidak perlu berasa gusar kerana ibadah mereka adalah sah dan tidak terjejas sama sekali.
“Segala isu salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif menjadi tanggungjawab pihak pengurusan pada ketika itu, bukannya pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui realiti kedudukan kewangan dalaman TH," katanya lagi.
