Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas CEO bank didakwa tipu pelaburan RM139 juta
1

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UBB Investment Bank Limited, Razlan Raghazli, didakwa pagi ini atas pertuduhan menipu lebih RM139 juta daripada pelaburan Amanah Berhad milik bank itu dalam sebuah syarikat pendidikan pada September tahun lalu.

Razlan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, pagi ini.

Razlan didakwa memperdaya Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Amanah Berhad bank berkenaan, Aida Aizura Othman, sehingga mempercayai bahawa dia telah menandatangani jadual pembayaran bagi kemudahan pembiayaan hartanah Islamik mengikut nasihat guaman daripada Tetuan Kassim Tadin, Wai & Co.

Surat jadual pembayaran itu bertajuk “Disbursement Advice on Islamic Property Financing Under Bai-Bithamin Ajil (BBA)” bertarikh 18 September tahun lalu.

Perkara itu menyebabkan Aida melepaskan pembayaran berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd.

Bagaimanapun, dalam pertuduhan tersebut, Razlan didakwa mengetahui bahawa tindakannya bertentangan dengan nasihat peguam dan Aida tidak akan melepaskan dana berkenaan sekiranya dia tidak diperdaya oleh tertuduh.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan mencadangkan ikat jamin RM100,000 terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu boleh dijamin.

Dia turut mencadangkan supaya mahkamah merampas pasport Razlan dan mengarahkannya supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sebagai syarat tambahan.

Peguam Razlan, Azimudin Abd Aziz, memohon jumlah ikat jamin lebih rendah dengan menyatakan anak guamnya kini tidak bekerja selepas meninggalkan bank itu pada Jun tahun ini.

Azimudin turut berkata Razlan akan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM60,000 terhadap Razlan serta mengenakan syarat tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

Hakim turut menetapkan 12 Oktober untuk pengurusan kes.

Sebelum prosiding ditangguhkan, peguam yang mewakili bank sebagai pemerhati prosiding, Johan Mohan Abdullah, memohon supaya mahkamah mengarahkan media tidak menyiarkan nama institusi kewangan berkenaan dalam laporan mereka.

Menurut peguam tersebut, bank berkenaan bimbang pendeposit akan panik dan perkara itu boleh menjejaskan kestabilan bank.

Permohonan itu ditolak selepas mahkamah mengambil perhatian bahawa nama bank pelaburan berkenaan dinyatakan dalam kertas pertuduhan dan orang ramai berhak mengetahui butiran penuh kes tersebut.

UBB Investment Berhad dikenakan kompaun RM10 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) pada Jun, seperti dilaporkan The Edge pada 15 Ogos.

Kompaun itu dikenakan kerana kegagalan bank berkenaan melaporkan lebih 50 transaksi mencurigakan yang dilakukan antara 2023 dan 2024, selain melanggar peraturan antipengubahan wang haram yang lain.

Bank berkenaan telah membayar sepenuhnya kompaun tersebut pada 11 Jun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS