Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan mengalah isu nikotin cecair, NGO persoal muslihat KKM
Diterbitkan:  Aug 19, 2026 1:01 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal tahun ini berhubung pembatalan penyenaraian produk nikotin cecair sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa peguam kanan persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis penamatan di Mahkamah Rayuan semalam.

Notis bertarikh 18 Ogos itu menyatakan kedua-dua perayu – Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad serta kerajaan – menarik balik dan menamatkan keseluruhan rayuan mereka.

Pada Mei lalu, hakim Mahkamah Tinggi Aliza Sulaiman membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga NGO terhadap menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa dan kerajaan berhubung langkah pada 2023 untuk membatalkan penyenaraian produk nikotin cecair dan gel daripada senarai racun berjadual.

Aliza mendapati kerajaan, menerusi Kementerian Kesihatan (KKM), bertindak secara tidak sah, tidak rasional dan tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun apabila membatalkan penyenaraian produk berkenaan.

Voice of Children, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Persatuan Paru-Paru Hijau Malaysia memfailkan cabaran undang-undang itu pada Julai 2023.

Dalam laporan berasingan, CodeBlue memetik tiga NGO berkaitan kesihatan yang menggesa Putrajaya menjelaskan status undang-undang nikotin susulan penarikan balik rayuan kerajaan itu.

Amrahi Buang

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang menyoal KKM bagaimana Akta Racun dan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 akan berfungsi bersama.

"Soalannya sekarang bukan apa yang berlaku pada 2023, tetapi apa yang Malaysia buat selepas ini.

"Kita memerlukan kejelasan, konsistensi dan kerangka kawal selia yang melindungi orang awam sambil memastikan mereka yang sudah bergantung kepada nikotin mempunyai akses kepada sokongan berhenti merokok berasaskan bukti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan kepada CodeBlue, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) R Arasu mempersoalkan jika keputusan itu bermakna nikotin cecair dan gel kekal di bawah penyenaraian terdahulu sebagai racun Kumpulan C di bawah Akta Racun dan jika jualan vape perlu dihentikan serta-merta.

Sementara itu, Kelab Wanita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch) menegaskan bahawa rayuan itu tidak sepatutnya difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

"Episod ini malangnya mewujudkan tanggapan – sama ada betul atau salah – bahawa pertimbangan komersial atau pertimbangan lain kadangkala bersaing dengan pertimbangan kesihatan awam dalam keputusan melibatkan nikotin dan vape.

"MyWatch percaya KKM kini perlu menjelaskan secara terang mengapa rayuan itu diteruskan pada mulanya, apa pertimbangan yang membawa kepada penarikan baliknya, dan paling penting, apakah kedudukan undang-undang dan kawal selia mengenai nikotin cecair selepas keputusan ini," kata presidennya Roslizawati Ali dalam satu kenyataan.

KKM, pada 31 Mac 2023, mengecualikan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun untuk memperkenalkan bil baharu bagi mengawal selia produk dan peranti merokok, termasuk nikotin dalam cecair dan gel yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape.

Susulan itu, Zaliha, pada 1 April, memberi jaminan bahawa cecair vape dan produk berkaitan akan dikawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024.

Ekoran keputusan Mahkamah Tinggi itu, anggota parlimen Sekijang berkenaan mempertahankan keputusannya pada 2023, dengan menyatakan ia merupakan langkah kritikal yang bertujuan mengeluarkan industri vape daripada pasaran gelap supaya ia boleh dikawal selia dan dikenakan cukai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS