Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun MIC gesa elak spekulasi insiden patung kuil dirosakkan
Diterbitkan:  Aug 19, 2026 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabai, V Arumugam menggesa orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian struktur patung rumah ibadat bukan Islam dirosakkan di Bukit Tinggi, Bentong.

Pengerusi MIC Pahang itu berkata, semua pihak perlu memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

"Saya menyeru semua pihak, khususnya orang ramai, agar tidak membuat sebarang andaian, tuduhan atau spekulasi berhubung kejadian ini sebelum siasatan lengkap diperoleh.

"Saya mengingatkan awam agar tidak terikut-ikut dengan emosi serta mengelakkan penyebaran maklumat yang belum disahkan di media sosial kerana ia boleh mendatangkan ketegangan kaum dan agama.

"Kita perlu memberikan ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dia berkata demikian susulan insiden struktur patung di rumah ibadat berkenaan dilaporkan dirosakkan baru-baru ini.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Pahang Azry Akmar Ayob mengesahkan pihak polis menerima tiga laporan berhubung insiden tersebut.

Siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian mahupun saksi bebas yang melihat insiden berkenaan berlaku.

Sementara itu Arumugam meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan polis.

"Biarlah siasatan menentukan kebenaran. Biarlah undang-undang menentukan tindakan.

"Keharmonian masyarakat mesti kita pertahankan bersama," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS