Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahredzan ingatkan PM tak tergesa-gesa ketika ahli DAP desak reformasi
1

Bimbang terhadap sokongan yang semakin merosot, perwakilan DAP pada kongres kebangsaan baru-baru ini mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempercepatkan reformasi yang dijanjikannya.

Namun, Syahredzan Johan mengingatkan bahawa langkah tergesa-gesa boleh membawa padah.

Mengakui agenda reformasi bergerak perlahan, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu berkata Anwar, yang juga pengerusi PH, berada dalam kedudukan sukar, khususnya apabila melibatkan isu-isu sensitif.

Bagi menjelaskan perkara itu, Ahli Parlimen Bangi tersebut memetik tuntutan agar Putrajaya mengiktiraf sepenuhnya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke universiti awam.

Dia berkata walaupun kerajaan mencapai kemajuan dalam isu tersebut, penyokong UEC masih tidak berpuas hati kerana merasakan usaha yang dilakukan masih belum mencukupi.

"Sesetengah pihak mungkin merasakan bahawa ini tidak mencukupi, tetapi bagi pihak kami, sebagai pemimpin Melayu dalam DAP, kami tahu bahawa isu ini amat sensitif dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Anwar sendiri pernah berkongsi bagaimana dia melihat pengalaman di Mesir selepas Arab Spring, apabila perubahan diperkenalkan terlalu pantas sehingga membawa kepada rampasan kuasa oleh tentera," kata Syahredzan dalam podcast KiniTV yang disiarkan pagi tadi.

Antara pengkritik paling lantang terhadap perdana menteri pada kongres tersebut ialah perwakilan DAP Wilayah Persekutuan, Sangeet Kaur Deo, yang menggesa parti itu menilai semula hubungannya dengan Anwar, serta menuduh dia memecah-belahkan rakan gabungan sambil memperkasakan Umno.

Syahredzan yang tidak bersetuju dengan pendapat Sangeet menegaskan bahawa pelbagai kepentingan perlu dipertimbangkan ketika melaksanakan reformasi.

"Kita tidak boleh tergesa-gesa atau bertindak terburu-buru. Seperti kata pepatah, kita perlu berhati-hati dan bergerak secara perlahan. Kami memahami perkara itu.

"Sebab itulah, walaupun dalam keadaan sedemikian, Anwar sekurang-kurangnya berani membuka jalan, jika kita bercakap dalam konteks yang lebih luas.

"Jadi, kami faham bahawa terdapat kekangan. Beliau pada dasarnya berada dalam kedudukan yang sukar, dan sebarang perubahan perlu dilakukan dengan berhati-hati," tambahnya.

Naib pengerusi DAP itu turut membidas pengkritik yang menuduh pemimpin DAP ketagih kuasa selepas perwakilan mengundi untuk kekal dalam kerajaan Madani.

Menurutnya ramai daripada mereka yang mengundi menyokong keputusan untuk kekal dalam kerajaan tidak memegang sebarang jawatan berkaitan kerajaan.

"Untuk mengatakan bahawa ia sekadar satu sandiwara, atau bahawa (DAP) sedang mencari atau ketagih kuasa, saya rasa itu tidak tepat kerana keputusan tersebut bukan dibuat oleh CEC.

"Jika keputusan itu dibuat oleh CEC, mungkin kita boleh berkata demikian kerana terdapat menteri dan timbalan menteri (dalam majlis tersebut). Tetapi keputusan itu dibuat oleh perwakilan, yang sebenarnya hanyalah orang biasa," tambah Syahredzan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS