Pemilik seekor anjing bernama Rocky dan seorang sukarelawan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di Klang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap haiwan tersebut sehingga menyebabkan kematian dalam operasi menangkap anjing liar di Pelabuhan Klang, bulan lalu.
S Roghini Devi, pemilik Rocky, dan Shah Idham Nor Haikal Shaharom mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Mengikut pertuduhan Muhammad Shah Idham didakwa dengan secara tidak munasabah telah menjerut anjing jantan itu menggunakan tali loop sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.
Roghini pula didakwa dengan secara tidak munasabah menarik anjing sama sehingga menyebabkan kesakitan ke atas anjing itu.
Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 29 Julai antara 11 hingga 11.30 malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Jika disabitkan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat JPV negeri.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah Idham dan peguam Jeremy Vinesh Anthony mewakili Roghini, masing-masing memohon jaminan minimum RM3,500 atas alasan anak guam mereka memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Hakim Mujib Sarojih kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada mereka berserta syarat melaporkan diri di pejabat JPV Selangor setiap bulan dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Roghini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memelihara seekor anjing berusia lebih tiga bulan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara hingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret A Karthiyayini membenarkan jaminan RM1,000 dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes.
