Dua lagi insiden bendera terbalik dilaporkan berlaku di Johor, menurut pihak berkuasa.
Semalam, sebuah kilang di taman perindustrian SiLC, Iskandar Puteri dilaporkan memasang bendera secara terbalik serta tular di media sosial.
Kilang itu kemudiannya didapati beroperasi tanpa lesen.
Gambar daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menunjukkan kilang berkenaan mengibarkan dua Jalur Gemilang dan satu bendera negeri Johor. Salah satu bendera Malaysia serta bendera Johor itu dilihat dipasang terbalik.
Kilang tersebut diarah tutup dan turut dikenakan denda kerana mempamerkan papan tanda perniagaan tanpa lesen.
Sementara itu, 12 pekerja warga asing di kilang berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung permit kerja mereka.
Polis hari ini berkata seorang lelaki berusia 56 tahun turut ditangkap berhubung isu bendera tersebut menjadikan jumlah individu yang sudah ditahan setakat ini kepada lima.
Secara berasingan, Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata terdapat satu lagi kes melibatkan bendera terbalik di Pelangi Indah, dan dua lelaki berusia 25 serta 43 tahun ditangkap.
Menurutnya, siasatan terhadap kes berkenaan masih berjalan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan keputusan lanjut.
“Setakat ini kita ada tiga kes tular. Kita telah buat tangkapan dan siasatan masih dijalankan.
“Bila dah lengkap, kita akan rujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk dapat satu keputusan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Walau bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai insiden ketiga ini masih samar.
Sehubungan dengan itu, Hoo menyeru semua pihak, khususnya pemilik premis supaya bertanggungjawab dan memastikan Jalur Gemilang dipasang dengan betul, terutama apabila arahan pemasangan bendera berkenaan diberikan kepada pekerja mereka, terutamanya warga asing.
Sebelum ini, tular beberapa keping gambar pemasangan bendera Jalur Gemilang secara terbalik di negeri ini menerusi media sosial sebelum tindakan diambil pihak berkuasa.
Pada Isnin lalu, sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah ditutup sementara selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
