Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tolak GST menyeluruh, fokus tambah baik SST
Diterbitkan:  Aug 20, 2026 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Kerajaan tidak akan mempertimbang prinsip asas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai cukai menyeluruh dan bersedia membuat pelarasan untuk menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan boleh mempertimbang beberapa komponen GST, tetapi menegaskan bahawa prinsip teras Kerajaan Madani bukan untuk meningkatkan beban cukai ke atas segmen penduduk termiskin.

"Saya tidak bersedia untuk mempertimbang asas GST kerana ia masih merupakan cukai yang bersifat menyeluruh. Cukai itu akan dikenakan ke atas setiap rakyat, termasuk rakyat termiskin. Jadi, prinsip teras kerajaan perlu didukung," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan acara TikTok Shop Summit 2026, di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk memperbaharui rejim cukai penggunaan bagi menjadikannya lebih progresif dan cekap, termasuk kemungkinan memperkenalkan semula aspek GST.

Isu itu hangat diperbincangkan dengan pelbagai cadangan diketengahkan termasuk cukai ke atas transaksi pembayaran elektronik untuk meluaskan hasil cukai serta mengembalikan GST bagi membolehkan kerajaan mencapai sasaran fiskalnya.

Malaysia melaksanakan SST selepas beralih daripada GST pada 2018 susulan bantahan terhadap cukai menyeluruh tersebut berikutan peningkatan kos sara hidup.

Anwar berkata prinsip teras kerajaan Madani adalah untuk tidak menaikkan cukai ke atas golongan termiskin.

"Sama ada kita perlu membuat beberapa pelarasan untuk menambah baik pelaksanaan SST atau menggunakan beberapa komponen GST, sudah tentu, kita boleh melakukannya.

"Namun prinsip teras kerajaan MADANI ini bukanlah untuk meningkatkan cukai ke atas golongan termiskin. Oleh itu, prinsip asas GST tidak boleh dipertimbangkan," kata beliau. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS