Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK) daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Anugerah itu membawa gelaran Dato Laila Utama.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung semasa majlis menghadap di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan. Ia turut disaksikan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.
Hadir sama Menteri Luar Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani; Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg; dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Terdahulu, Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Istana Nurul Iman jam kira-kira 11 pagi.
Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar dijangka menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai jawatankuasa kerjasama pengurusan bencana.
Anwar tiba di Bandar Seri Begawan semalam untuk lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 antara Malaysia dan Brunei.
- Bernama
