Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil mengesahkan pengarah pilihan raya gabungan itu, Amirudin Shari bertemu dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim semalam bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara gabungan itu dengan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata dia dimaklumkan mengenai pertemuan semalam, walaupun tidak menerima taklimat mengenai perkara yang dibincangkan.
"Saya difahamkan mereka ada pertemuan semalam tapi tak dimaklumkan apa perbincangan.
"Memang ada (pertemuan) untuk pimpinan dalam masa sehari dua ini, ada banyak perjumpaan, mesyuarat, memang ada tapi sama ada itu antara topik, tidak dimaklumkan," katanya kepada wartawan di Putrajaya, hari ini.
Pada Khamis lalu, Anwar berkata jawatankuasa pilihan raya gabungan itu akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka.
Dia memaklumkan jawatankuasa berkenaan diketuai oleh Amirudin serta Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Saifuddin tidak menolak kemungkinan bertemu dengan Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama menjelang PRN. Saifuddin dilaporkan berkata pertemuan itu boleh berlaku selepas ketua menteri Melaka itu pulang daripada lawatan kerja ke New Zealand.
Mengenai strategi baharu PH berikutan kongres PKR di Melaka baru-baru ini, Fahmi berkata parti itu akan berusaha mengukuhkan kekuatan sedia ada di samping mendampingi bekas pemimpin dan tokoh berpengaruh yang lain.
Dia menambah Anwar menegaskan semasa kongres itu bahawa gabungan tersebut perlu bertindak melebihi sekadar membawa pulang bekas pemimpin semata-mata.
"Pengerusi Pakatan Harapan (Anwar) sebut waktu Kongres PKR di Melaka Ahad minggu lalu, beliau memaklumkan bahawa kita perlu berusaha untuk bukan hanya mengambil semula 'otai-otai', orang-orang lama seperti Tian Chua, Dr Xavier (Jayakumar) dan ramai lagi, tapi juga kita perlu merangkul seluruh kekuatan.
"Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan," katanya lagi.
