Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiga hadiah wajib PM beri rakyat sempena Hari Kebangsaan'
Diterbitkan:  Aug 26, 2026 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Pemuda DAP mahu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyampaikan tiga 'hadiah’ sempena Hari Kebangsaan' kepada rakyat bagi membolehkan mereka hidup dan bekerja dengan bermaruah, sekali gus memperkukuh kestabilan serta perpaduan negara.

Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, amalan reformasi yang dilaksanakan kerajaan perlu bersifat berani dan prihatin agar golongan muda, pekerja akar umbi, dan perniagaan mikro tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup sepanjang proses transisi.

“Ucapan Hari Kebangsaan oleh PMX, Anwar Ibrahim yang bakal disampaikan dijangka menggariskan visi untuk memperkukuh asas perpaduan dalam kepelbagaian, serta memimpin Malaysia ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.

“Walaupun saya menyokong visi berkenaan, saya turut mendesaknya untuk menyampaikan tiga ‘hadiah Hari Kebangsaan’ buat rakyat Malaysia.

“Hadiah itu merangkumi peningkatan kuota subsidi petrol Budi Madani bulanan kepada 300 liter, peningkatan peruntukan subsidi disel di Sabah dan Sarawak agar lebih mencerminkan keperluan sebenar, dan peningkatan nilai ambang pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan yang mempunyai perolehan tahunan RM5 juta ke atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Woo berkata, amalan reformasi yang dilaksanakan kerajaan perlu bersifat berani dan prihatin agar golongan muda, pekerja akar umbi, dan perniagaan mikro tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup sepanjang proses transisi.

Bagi mekanisme subsidi petrol Budi Madani yang dilaksanakan hampir setahun, dia menggesa kerajaan menaikkan kuota bulanan kepada 300 liter berikutan liputan pengangkutan awam masih belum mencukupi di banyak kawasan.

"Kebanyakan rakyat biasa dan pekerja terus bergantung kepada kenderaan peribadi untuk berulang-alik, membawa ahli keluarga, serta menguruskan mata pencarian.

“Kebergantungan ini tidak boleh dikurangkan dalam sekelip mata," katanya.

Dia menambah, kuota yang tidak mencukupi akan meningkatkan perbelanjaan harian pekerja serta kos logistik, seterusnya menyumbang kepada tekanan inflasi.

Mengenai subsidi diesel, Woo meminta kerajaan melakukan semakan menyeluruh mengikut keperluan geografi dan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak.

Katanya, keadaan muka bumi yang luas dan fasiliti darat yang terhad menjadikan kenderaan pacuan empat roda, generator diesel, peralatan pertanian kecil, dan pengangkutan sungai sebagai keperluan asas komuniti tempatan.

Justeru, dia menggesa kerajaan tidak menggunakan pendekatan seragam mengikut standard Semenanjung Malaysia, sebaliknya melonggarkan kriteria serta mempermudah proses permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selain itu, Pemuda DAP turut menggesa kerajaan menaikkan ambang pelaksanaan sistem e-Invois kepada perniagaan yang mencapai hasil jualan tahunan RM5 juta ke atas, di samping menyemak semula jadual pelaksanaan.

Langkah itu bagi memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini berdepan cabaran kos digitalisasi yang tinggi, proses operasi rumit, dan sokongan teknikal yang terhad.

"Transformasi digital mesti bersifat inklusif dan dilaksanakan secara berperingkat. Pelaksanaan yang terburu-buru tanpa masa transisi mencukupi boleh mencetuskan gelombang penutupan PKS," katanya.

Woo turut menggesa semua kementerian mengukuhkan koordinasi serta menjadikan usaha meringankan beban rakyat sebagai keutamaan utama dalam penggubalan dasar negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS