Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ada waktunya suara kita disalah erti, langkah kita dipersoal’
Diterbitkan:  Aug 26, 2026 12:02 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Pemuda Umno digesa untuk terus mempertahankan prinsip, berani memikul tanggungjawab, dan tidak menyerah kalah dalam menghadapi pelbagai cabaran serta ujian politik.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perjuangan mereka tidak pernah mudah, namun segala cabaran yang ditempuhi sepanjang 77 tahun penubuhan sayap parti itu menjadi asas dalam membentuk kekuatan serta keteguhan perjuangannya hari ini.

“Perjuangan Pemuda tidak pernah dijanjikan mudah.

“Ada waktunya suara kita disalahertikan. Langkah kita dipersoalkan. Kesetiaan kita diuji. Jalan yang dilalui pula sentiasa hadir dengan pelbagai rencam.

“Namun, daripada segala ujian itulah terbentuknya siapa kita hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sambil melampirkan sekeping gambarnya menjulang sebilah keris, Akmal menekankan bahawa perjuangan pergerakan itu tidak pernah dijanjikan mudah.

“Pemuda tidak dibesarkan oleh kesenangan. Pemuda dibentuk oleh keberanian untuk terus berdiri ketika yang lain memilih berdiam, dan hidup atas kesetiaan untuk terus bertahan ketika perjuangan tidak lagi menjanjikan pujian.

“Saya sentiasa percaya, jika mahu melihat kekuatan sesebuah bangsa, lihatlah kepada anak mudanya. Jika teguh prinsip mereka, jika berani langkah mereka dan jika utuh kesetiaan mereka maka bangsa itu masih punya masa hadapan,” katanya.

Akmal menambah, sepanjang 77 tahun penubuhannya, Pemuda Umno bukan sekadar penyambung usia parti, sebaliknya memainkan peranan sebagai penyambung nyawa kepada keseluruhan perjuangan berkenaan.

Justeru, dia mengingatkan seluruh anggota pergerakan itu agar tidak sekadar mewarisi nama parti semata-mata, tetapi turut mewarisi keberanian untuk memikul serta mempertahankannya.

Mengakhiri perutusan sambutan tersebut, dia menegaskan bahawa biarpun perjalanan yang dilalui tidak pernah mudah, Pemuda Umno tidak pernah dibentuk untuk menyerah kalah.

Keberanian sahaja tidak memadai, kata presiden

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika mengucapkan selamat ulang tahun ke-77 kepada Pemuda Umno, menyeru pergerakan itu supaya terus kekal relevan dalam kalangan generasi muda.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perubahan zaman membawa cabaran baharu kepada Pemuda Umno termasuk perkembangan teknologi, perubahan cara berfikir serta suara generasi muda yang semakin rencam.

Ahmad Zahid Hamidi

Menekankan keberanian sahaja tidak memadai, dia berkata Pemuda Umno mesti dipandu oleh kebijaksanaan disertai ilmu dan diterjemahkan melalui idea serta tindakan yang sesuai dengan peredaran zaman.

“Tugas besar Pemuda hari ini ialah memastikan Umno kekal relevan dan mempunyai tempat dalam hati generasi baharu.

“Untuk itu, kita mesti berani membuka pintu Rumah Bangsa ini lebih luas...mendengar pandangan mereka, memberi ruang kepada bakat baharu dan membina keyakinan bahawa dalam Umno, anak muda bukan sekadar pelengkap tetapi pewaris perjuangan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pengalamannya bersama Pemuda Umno mengajar erti perjuangan, mengenali denyut nadi akar umbi dan memahami bahawa menjadi anggota pergerakan itu bukan sekadar berada di barisan hadapan, tetapi bersedia memikul amanah ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian.

"Teruslah menyantuni anak muda dalam bahasa mereka, memahami keresahan dan membawa aspirasi mereka ke dalam perjuangan parti," katanya.

Ahmad Zahid berkata usia 77 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya merupakan himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekalan untuk pergerakan itu melangkah lebih jauh.

Dia juga berharap Pemuda Umno terus menjadi wadah melahirkan keberanian dipandu akal, idealisme berpijak di bumi serta pemimpin yang bersedia memikul amanah masa hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS