Bersatu menyokong pendirian dua wakil parti itu iaitu Adun Kuala Sentul, Jasri Jamaluddin dan Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus untuk kekal menyokong Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Naib presidennya, Ahmad Faizal Azumu, berkata ketetapan itu dibincangkan biro politik, yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

“Tindakan ini dibuat melalui satu pemeteraian perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani oleh menteri besar Pahang dan kedua-dua mereka.
“Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan oleh presiden parti telah membincangkan perkara ini dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Faizail turut menjelaskan kedua-dua wakil rakyat itu, sebelum ini menyatakan hasrat mereka itu kepada kepemimpinan dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
Terdahulu, Jasri dan Mohd Yazid dilapor menyatakan sokongan kepada kepimpinan Wan Rosdy hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Pahang ke-16.

Jasri dan Mohd Yazid dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu demi menjamin kestabilan politik di Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di dua kawasan berkenaan.
Dengan sokongan dua Adun Bersatu itu, Wan Rosdy kini memiliki sokongan 27 daripada keseluruhan 42 Adun Pahang.
Kerajaan negeri sebelum ini disokong 25 Adun, terdiri daripada 17 wakil BN dan lapan wakil PH.
Sementara itu, blok pembangkang terdiri daripada 15 Adun PAS dan dua Adun Bersatu yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket PN pada PRU15.

Pada Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hubungan kedua-dua parti dalam PN di peringkat negeri.
Pada PRU15, BN dan PN masing-masing memenangi 17 kerusi DUN Pahang, manakala PH memperoleh lapan kerusi.
BN kemudian membentuk kerajaan negeri selepas mencapai persefahaman dengan PH.
