Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH tolak cubaan Umno-PAS desak RCI kedua Tabung Haji
Diterbitkan:  Aug 26, 2026 1:45 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Pemimpin Pakatan Harapan menolak percubaan Umno dan PAS yang mahukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) kedua bagi menyiasat Tabung Haji.

Desakan daripada rakan kerjasama perpaduan Melayu itu dilihat bertujuan mengalihkan fokus daripada dapatan RCI sedia ada yang digunakan terhadap Umno, kepada tindakan mencari kesalahan kerajaan PH yang pertama dalam usaha menyelamatkan dana tabung haji berkenaan.

Cadangan menyiasat pengurusan Tabung Haji dari tahun 2018 hingga kini timbul daripada seorang peserta majlis pada forum yang bertujuan menjelaskan fakta mengenai RCI semalam, dan mendapat sokongan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

RCI baharu itu, katanya, perlu menyemak semula percanggahan yang dilihat dalam dapatan suruhanjaya pertama, seperti desakan audit forensik ke atas pembelian saham dalam perladangan Tabung Haji, walaupun SPRM pada 2021 menyatakan tiada sebarang salah guna kuasa berlaku.

Sasaran serangan BN, PAS

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii dilaporkan berkata RCI baharu perlu merangkumi tempoh selepas apa yang diliputi oleh suruhanjaya pertama, dan menumpukan sama ada berlaku sebarang penyelewengan apabila aset Tabung Haji dijual, serta status terkini aset berkenaan.

Ini dipercayai merujuk kepada keputusan Kementerian Kewangan pada 2018 untuk memindahkan lebih RM19.9 bilion aset Tabung Haji yang kurang prestasinya kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan dalam usaha menyelamatkan dana berkenaan.

Pemindahan itu sekian lama menjadi sasaran serangan BN dan PAS, terutamanya berteraskan hakikat bahawa menteri kewangan ketika itu ialah Lim Guan Eng daripada DAP.

Pemindahan kepada SPV yang dinamakan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) itu diliputi oleh siasatan RCI Tabung Haji, yang mendapati ia merupakan langkah sementara yang perlu untuk menyelamatkan dana berkenaan.

RCI itu — yang merangkumi tempoh dari 2014 hingga 2020 — turut membuat cadangan berhubung UJSB termasuk menyusun semula sukuk yang diterbitkan oleh kerajaan kepada Tabung Haji untuk aset berkenaan supaya ia boleh didagangkan.

‘Dia yang desak, dia setuju, sekarang dia persoalkan’

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dalam hantaran di Facebook pagi ini turut menyuarakan sokongan terhadap RCI kedua bagi menyiasat UJSB, dengan berkata: "Kalau nak dedah, kita dedah sepenuhnya bukan separuh-separuh sahaja.”

Syahredzan Johan

Mengulas tindakan Umno dan PAS yang seolah-olah menolak RCI pertama Tabung Haji, Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan menarik perhatian bahawa suruhanjaya itu ditubuhkan oleh kerajaan Umno-PAS selepas desakan daripada parti-parti berkenaan.

"Dia yang desak, dia yang setuju tubuh (RCI), sekarang dia yang persoalkan," katanya secara berseloroh di Threads malam semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim mempersoalkan apa yang sebenarnya dimahukan oleh Umno dan PAS.

Perlu ikut telunjuk Akmal, Umno?

“Persoalannya mudah. Adakah semua orang perlu ikut telunjuk Akmal dan Umno sehingga kita mendapat jawapan yang Umno mahu?

“Akmal perlu ingat, RCI Tabung Haji ini bukan ditubuhkan ketika PMX menjadi Perdana Menteri.

“Jadi kalau tidak puas hati dengan dapatan RCI, jangan pula cuba alihkan kesalahan kepada kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kamil Munim

Kamil berkata kerajaan Madani tidak takut kepada kebenaran, dan institusi seperti RCI tidak sepatutnya disalah guna.

Senada dengan pendirian itu, anggota parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam kenyataan hari ini berkata Umno mesti menghentikan drama berkenaan.

"Drama oleh Umno ini mesti dihentikan. Ia berbahaya terutamanya apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya dapatan RCI mengenai Tabung Haji disiasat secara menyeluruh dan pihak yang bertanggungjawab mesti didakwa," katanya.

Bertentangan titah Agong

Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari berkata tindakan Umno dan PAS menganjurkan forum serta mendesak RCI kedua diadakan bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Aziz Bari

Dalam satu kenyataan hari ini, Adun Tebing Tinggi itu berkata, Seri Paduka Baginda sendiri telah bertitah agar tindakan diambil dan mengingatkan supaya mereka yang terlibat dicari hingga “ke lubang cacing”

Sehubungan itu, dia menggesa pihak berkuasa "bertindak" dengan segera - bagaimanapun, dia tidak memeperincikan tindakan yang perlu diambil terhadap Umno dan PAS.

“Perlu diingatkan bahawa skandal Tabung Haji ini adalah isu yang menyentuh kepentingan semua kaum di Malaysia. Ini kerana langkah menyelamatkan Tabung Haji telah melibatkan semua rakyat, khususnya pembayar cukai.

“Justeru desakan Umno dan PAS tidak harus dilayan dan kita menyeru agensi penguatkuasa untuk segera bertindak,” katanya.

Dengan BN dan PN berada pada trajektori untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya sekiranya mereka dapat mengekalkan kerjasama dan momentum semasa, RCI kedua Tabung Haji berkemungkinan boleh berlaku dan mungkin dijadikan senjata menentang PH.

Siasat 'hingga ke lubang cacing'

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan memberi jaminan bahawa kerajaan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam di negara ini.

Zulkifli Hasan

Menurutnya, siasatan berkenaan disokong oleh titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Julai 2021 dan ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat "hingga ke lubang cacing".

"Sebagai institusi Parlimen yang berwibawa, saya menghormati proses PAC dan Kerajaan Madani sedia memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zulkifli menjelaskan keanggotaan RCI Tabung Haji dibentuk oleh enam tokoh berwibawa tinggi yang diperkenankan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021, merangkumi pakar kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah, dan audit.

Gabungan kepakaran itu memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil, serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

Tambahnya, desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Sehubungan itu, dia menegaskan kerajaan berikrar menggalas amanah berkenaan dengan penuh rasa tanggungjawab dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS