Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir ditangguhkan kira-kira 50 minit selepas Koroner Amir Shah Amir Hassan meninggalkan kamar mahkamah susulan suasana tegang ketika prosiding hari ini.
Situasi berkenaan tercetus ketika peguam Ram Singh yang mewakili seorang daripada remaja didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina menyoal Pakar Perunding Psikiatri Wong Haw Huo, saksi ke-75 dalam inkues berkenaan.
Ram beberapa kali meminta Wong memberikan jawapan secara langsung terhadap soalannya termasuk mengenai punca pelajar 13 tahun itu terjatuh dan sama ada remaja berkenaan bersendirian sebelum kejadian.
Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina kemudian menyatakan bahawa cara Ram menyoal Wong agak “keras”.
Ram kemudian menjawab: “Tuan, jangan gunakan perkataan “keras” terhadap saya. Sebelum ini, menjelang penghujung, ada juga soalan yang sangat keras (peguam lain) tetapi perkara ini sangat penting bagi kami, sangat penting.”
Amir Shah kemudian berkata: “Tetapi ini ialah inkues, bukan perbicaraan”.
Ram menjawab: “Saya tidak mengatakan ini perbicaraan, Tuan. Maksud saya, berlaku adillah kepada kami. Berlaku adil”.
Amir Shah kemudian bertanya: “Adakah saya tidak adil? Adakah saya tidak cukup adil?”
Ram menjawab: “Tuan berlaku adil,” sebelum koroner sekali lagi bertanya: “Adakah saya tidak cukup adil?” sebelum bertindak meninggalkan tempat duduknya.
Ram kemudian berkata: “Bukan begitu, Tuan. Jangan kita terbawa-bawa dengan emosi mengenai perkara ini. Dia (Wong) memberikan jawapan berbelit-belit dan terus memberi penjelasan.”
Selepas prosiding disambung semula kira-kira 50 minit kemudian, Ram memohon maaf kepada mahkamah sambil menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum itu tidak bertujuan mempersoalkan keadilan prosiding berkenaan.
Ram berkata keputusan koroner meninggalkan kamar mahkamah mengejutkannya sebagai peguam dalam prosiding inkues berkenaan dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang, dan pada masa sama Rizwandean turut mengemukakan permohonan maaf.
Amir Shah menerima permohonaan maaf Ram dan Rizwandean, namun mengingatkan semua peguam supaya sentiasa berhati-hati serta kekal profesional sepanjang prosiding inkues berkenaan.
Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak sambil menjelaskan bahawa sepanjang 21 tahun berkhidmat, itu merupakan kali pertama beliau meninggalkan tempat duduk ketika prosiding berlangsung.
“Saya juga perlu memohon maaf kepada anda semua kerana hilang sabar dan ini kali pertama saya meninggalkan tempat duduk, dengan sedikit rasa sakit di dada.
“Jangan kita terbawa-bawa dengan emosi. Kita perlu kekal profesional. Itu matlamat utama inkues ini,” katanya.
Meneruskan keterangan, Wong memberitahu mahkamah bahawa pelajar terakhir yang bertemu Zara Qairina sebelum remaja itu terjatuh dianggap sebagai individu penting dalam menilai keadaan mentalnya sebelum kejadian.
Wong berkata dengan menemu bual pelajar berkenaan, pakar psikiatri dapat memahami dengan lebih jelas perbualan Zara Qairina, selain keadaan fizikal, pertuturan, tingkah laku dan emosinya ketika itu.
Beliau berkata maklumat berkenaan penting bagi menentukan mental Zara Qairina termasuk tahap pemahamannya terhadap kemungkinan akibat daripada tindakannya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.
- Bernama
