Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi Tabung Haji, bekas KSU Perbendaharaan ditahan SPRM
Diterbitkan:  Aug 26, 2026 7:02 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan seorang bekas ketua setiausaha perbendaharaan bagi membantu siasatan isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan agensi tersebut.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu lelaki berumur dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah berkenaan di Putrajaya.

"Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dapatan dan isu yang dikemukakan dalam Laporan RCI Tabung Haji," kata sumber kepada Malaysiakini.

Nama mereka tidak didedahkan buat masa ini.

Berdasarkan kenyataan SPRM di akaun TikTok, pihak pendakwa dijangka membawa kedua-dua individu terbabit ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

SPRM sebelum ini memanggil lapan individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji bagi membantu siasatan berhubung laporan yang didedahkan oleh RCI itu.

Antara individu terbabit ialah seorang bekas CEO syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji.

Laporan RCI mengenai Tabung Haji yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan yang lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Skop siasatan RCI berkenaan - yang ditubuhkan atas perkenan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu - meliputi penelitian terhadap isu berkaitan Tabung Haji sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.

Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri ketika RCI berkenaan ditubuhkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS