Bintang The Rocky Horror Picture Show Tim Curry meninggal dunia pada usia 80 tahun, lapor PA Media/dpa.
Pelakon kelahiran Cheshire itu yang terkenal menerusi watak saintis makhluk asing Frank-N-Furter dalam filem muzikal 1975 berkenaan meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles, menurut pengurus lama yang juga rakannya Marcia Hurwitz.
Punca kematian belum disahkan, namun Curry pernah mengalami strok pada 2012 yang menyebabkan bahagian kiri tubuhnya lumpuh.
Kerjaya Curry merangkumi pentas dan layar perak, dengan antara watak filem terkenalnya ialah Pennywise dalam "It" (1990), pekerja hotel dalam "Home Alone 2: Lost in New York" (1992) dan "Long John Silver" dalam "Muppet Treasure Island" (1996).
Beliau turut membintangi filem muzikal Annie pada 1982 sebagai Daniel Francis “Rooster” Hannigan, yang merupakan penipu dan berpakat dengan teman wanitanya untuk menyamar sebagai ibu bapa Annie bagi mendapatkan ganjaran.
Curry juga dikenali menerusi kerjayanya di pentas teater, termasuk sebagai pelakon pertama yang membawakan watak King Arthur dalam produksi Broadway dan West End, Monty Python’s Spamalot, selain membintangi "Love For Love" karya William Congreve dalam produksi 1985 di National Theatre.
Pada Oktober 2025, Curry menerbitkan memoirnya, "Vagabond".
