Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Kasap Zahari Sarip hari ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16.
Pencalonan Zahari, 59, dikemukakan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi pada sesi Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri.

Onn Hafiz yang juga Adun Machap mencadangkan nama Zahari sebelum pencalonan itu disokong Adun Bukit Permai Mohd Jafni Md Shukor manakala tiada pencalonan lain dikemukakan.
Zahari menggantikan Mohd Puad Zarkashi yang memegang jawatan berkenaan bagi penggal ke-15 dari April 2022 hingga pembubaran DUN pada awal Jun lepas.
Sebelum ini, Zahari berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor serta menyandang kerusi DUN Buloh Kasap sejak 2018.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 Julai lepas, Zahari mempertahankan kerusi DUN Buloh Kasap selepas menewaskan calon PH Noraziah Mohd Razit dengan majoriti 8,600 undi.

Dalam ucapan pemasyhurannya selepas secara rasmi dipilih dan dipakaikan jubah Speaker, Zahari menzahirkan penghargaan atas kepercayaan diberikan Menteri Besar serta seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau beriltizam untuk memikul amanah yang diberikan itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.
"Pemilihan ini suatu penghormatan dan amanah besar. Saya akan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan ini dengan sebaik-baiknya sebagaimana sumpah yang dipilih," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Puad dan bekas Timbalan Speaker Samsolbari Jamali atas segala jasa sumbangan sepanjang menjalankan amanah masing-masing bagi penggal persidangan DUN ke-15.
Pada persidangan sama, Adun Semarang Samsolbari, 66, dilantik semula sebagai Timbalan Speaker DUN Johor selepas namanya dicadangkan Onn Hafiz manakala tiada pencalonan lain dikemukakan.
Samsolbari merupakan Adun Semarang sejak 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor ke-16 dengan majoriti 14,679 undi.
- Bernama
