Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi TH, bekas KSU perbendaharaan direman 7 hari
Diterbitkan:  Aug 27, 2026 7:11 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Perintah reman bermula hari ini hingga 2 Sept terhadap kedua-dua suspek berumur lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini.

Peguam yang mewakili kedua-dua individu berkenaan berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, mahkamah turut menyambung reman terhadap seorang bekas ketua pegawai eksekutif TH selama empat hari hingga 31 Ogos.

Terdahulu, mereka bertiga tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.30 pagi dengan memakai baju reman SPRM berwarna jingga.

-- LAGI

MAHKAMAH-REMAN (TH) 2 (AKHIR) PUTRAJAYA

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS