GLOBAL | Sekurang-kurangnya 10,000 keluarga kehilangan tempat tinggal akibat banjir kilat dahsyat yang melanda Nepal, kata Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) yang dipetik media dan dilaporkan Anadolu Ajansi.
"Situasinya sangat dahsyat," kata jurucakap IFRC Tommaso Della Longa kepada CNN.
Dia berkata selain itu usaha untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa amat sukar kerana jalan raya dan jambatan musnah, sistem komunikasi terputus dan sesetengah kawasan hanya boleh diakses menggunakan helikopter.
Bercakap kepada BBC, ketua delegasi IFRC di Nepal, David Fisher, berkata seluruh kampung dan kawasan pasar lenyap akibat banjir kilat tersebut.
Berdasarkan imej satelit, banjir tersebut berkemungkinan berpunca daripada runtuhan ketulan ais besar dari glasier Himalaya, kira-kira 20 kilometer di timur laut lintasan sempadan Rasuwa-Rasuwagadhi.
Runtuhan itu menyebabkan sejumlah besar ais dan batu jatuh ke dalam Sungai Bhotekoshi di bahagian bawah.
- Bernama/Anadolu
