Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari sedang menanti kesediaan Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, bagi memulakan rundingan rasmi mengenai hala tuju kerjasama politik di negeri itu.
Amirudin berkata dia telah berhubung dengan Ab Rauf namun Ketua Menteri Melaka itu memaklumkan mahu menunggu keputusan dasar daripada kepimpinan tertinggi Umno dan BN pusat terlebih dahulu.
“Saya sebenarnya dah berhubung, dia (Ab Rauf) cakap sedang tunggu beberapa keputusan dasar peringkat Umno Pusat dan BN Pusat untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” kata Amirudin kepada pemberita selepas merasmikan program Madani Kita Bersama Komuniti Ampang Jaya hari ini.
Mengulas mengenai prinsip perundingan, Amirudin menekankan sebarang kerjasama politik perlu berpaksikan keikhlasan, tanpa meletakkan prasyarat awal yang boleh mengekang proses perbincangan.
Menteri Besar Selangor itu memberikan contoh semangat kerjasama PH di Selangor pada PRN lalu yang bersedia menyerahkan kerusi dimenangi mereka kepada BN demi menjayakan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita ikhlas berbincang ketika PRN dan harap ada keikhlasanlah ketika kita berbincang di tempat lain. Jangan sebelum berbincang telah meletakkan syarat.
“Di Selangor kita bagi kawasan yang kita menang kepada BN, jadi keikhlasan itu kena tengok cermin diri sendiri juga dan kita terbuka untuk berbincang,” katanya.
Pada 25 Ogos lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata Amirudin diberi mandat untuk memperincikan bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan BN, termasuk agihan kerusi pada PRN Melaka akan datang.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan pada PRN Melaka ke-15 BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 kerusi, diikuti PH dengan lima kerusi manakala PN dua kerusi.
Mandat kerajaan Melaka akan tamat pada 31 Dis ini dan PRN perlu diadakan selepas itu.
- Bernama
